KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak telah melakar dua siri kejayaan dalam Op Benteng COVID-19 pada Khamis dan Jumaat lalu.
Komander Briged PGA Sarawak, SAC Mancha Ata berkata, kejayaan pertama adalah Batalion 11 PGA Kuching menahan seorang lelaki tempatan, 32, dan warganegara Indonesia, 44, dan merampas pelbagai barangan dengan keseluruhan nilai RM112,624 dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu pada Khamis lalu.
“Seterusnya, pemeriksaan dilakukan dan pihak kita merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebatang anak kunci, empat buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebentuk cincin emas dan wang tunai berjumlah RM10,024 dengan keseluruhan sebanyak RM112,624.
“Lelaki warga tempatan tersebut ditahan dibawah Seksyen 26a Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Antipsom) 2007, manakala warganegara Indonesia ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1953/69 kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk tindakan dan siasatan selanjut,” katanya.
Manakala, kejayaan kedua, pasukan serbuan ibu pejabat Briged dan Batalion 11 PGA Kuching menjalankan operasi khas dibawah pengoperasian “Op Benteng Covid” yang bertujuan untuk mengesan tempat yang disyaki menjadi transit oleh tekong darat bagi tujuan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan sempadan.
“Hasil pemeriksaan rambang yang dijalankan ke atas 13 rumah di sekitar Daerah Sematan, Lundu dan Serian, seramai enam orang awam diperiksa dan mendapati tiada sebarang kesalahan yang menyalahi undang-undang.
“Seterusnya, pemeriksaan turut diadakan ke atas sebuah premis di Kampung Entubuh, Tebedu yang disyaki dijadikan tempat transit keluar dan masuk warga Indonesia melalui jalan tidak sah.
“Hasil pemeriksaan dan kenyataan daripada pemilik premis tersebut menjumpai barang milik warga Indonesia yang diletakkan dibawah jagaan beliau,” jelasnya.
Tambahnya, bagi mengelak dari ditangkap, pemilik premis tersebut yang merupakan seorang lelaki tempatan berbangsa Melayu menawarkan wang suapan sebanyak RM500 kepada ketua serbuan agar tidak dikenakan sebarang tindakan.
“Tangkapan dibuat di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 dan diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak untuk tindakan lanjutn.
“Tindakan yang agresif juga akan diambil dalam usaha untuk membanteras sebarang bentuk jenayah rentas sempadan dan menyekat kemasukan PATI dengan memperkukuhkan kawalan sempadan Sarawak bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” tegasnya.
Oleh Zarina Abdullah