SIBU: Seorang lelaki warga tempatan lesap wang simpanan sebanyak RM43,351 selepas terjerat dengan tawaran kerja sambilan secara atas talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, mangsa, 30-an dan tidak bekerja, tertarik dengan tawaran kerja sambilan yang menjanjikan pulangan komisen.
“Mangsa telah diarahkan oleh suspek untuk melakukan beberapa tugasan, mangsa telah diberikan satu pautan dan perlu menekan pautan youtube dengan cara klik butang like dan menghantar kepada orang lain berkenaan barangan atau produk yang dijual. Setelah tugasan selesai dibuat, mangsa telah memperoleh komisen berjumlah RM190.
“Namun, tugasan seterusnya mangsa tidak menerima bayaran komisen kerana dikatakan telah melakukan kesilapan dan dikehendaki membuat pembayaran ke akaun yang diberikan oleh suspek,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak tujuh kali transaksi secara kesuluruhan sejumlah RM43,351 ke dalam dua akaun tempatan yang berlainan.
“Setelah selesai membuat pembayaran, suspek mengarahkan mangsa untuk membuat sekali lagi pemindahan wang berjumlah RM20,894 namun mangsa mengatakan wang simpanan miliknya tidak mencukupi,” kata beliau.
Katanya lagi, mangsa berasa curiga dan sedari telah terpedaya oleh suspek dan membuat laporan bagi siasatan lanjut pihak polis.
“Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” tegasnya.
Oleh Akun Giman