MUKAH: Warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan bersama kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 6, Jalan Kuala Balingian, hari ini.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, kejadian berlaku sekitar jam 12.05 tengah hari itu, melibatkan dua kenderaan iaitu kenderaan pacuan empat roda dan motosikal.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda yang bergerak lurus dari arah Tatau hendak menuju ke arah Balingian.
“Ketika tiba di KM 6, Jalan Kuala Balingian, ia bertembung sebuah motorsikal yang bergerak dari arah bertentangan secara tiba-tiba memasuki laluannya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu lelaki berusia 63 tahun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Balingian.
“Sementara tiga lelaki iaitu pemandu dan dua penumpang kenderaan pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.