LONDON: Leicester menamakan Ruud van Nistelrooy sebagai pengurus baharu kelab itu awal pagi tadi, hanya beberapa minggu selepas pemergiannya dari Manchester United.
Warga Belanda itu meninggalkan Old Trafford awal bulan ini selepas berkhidmat seketika sebagai bos sementara dan sebelum itu sebagai penolong Erik ten Hag yang dipecat.
Leicester memecat Steve Cooper Ahad lalu selepas hanya mengendalikan 12 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), dengan The Foxes terdampar di tangga ke-16 dan hanya satu mata di atas zon penyingkiran.
“Saya berbangga, saya teruja. Setiap orang yang saya jumpa menyatakan mengenai kelab bola sepak Leicester City yang bersemangat waja,” kata Van Nistelrooy dalam satu kenyataan kelab.
“Sejarah terkini kelab amat mengagumkan. Saya teruja untuk bermula dan mengenali setiap orang dan memberikan segala-galanya yang termampu kepada kelab bola sepak ini.”
Leicester mengejutkan dunia bola sepak apabila menjuarai EPL pada musim 2015-16 dan menjulang Piala FA buat kali pertama lima tahun kemudian.
Namun mereka tersingkir daripada liga utama dua tahun lalu sebelum bangkit dalam cubaan pertama di bawah kendalian bos Chelsea sekarang, Enzo Maresca.
Dua daripada tiga kemenangan Van Nistelrooy dalam empat aksi kendaliannya sebagai pengurus sementara United hadir menentang Leicester dalam Piala Liga dan EPL.
Jurulatih berusia 48 tahun itu sebelum ini berpengalaman mengurus selama setahun mengendalikan PSV Eindhoven pada 2022-23.
Beliau tidak akan memulakan tugasnya hingga Ahad ini, dengan bos sementara Ben Dawson mengendalikan kunjungan ke Brentford malam ini, tetapi Van Nistelrooy akan menghadiri perlawanan itu. – AFP