LUNDU: Kontraktor penyelamat terpaksa dilantik untuk mengambil alih projek pembinaan jambatan Batang Rambungan di sini, yang bermasalah.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata projek bernilai RM82 juta itu kini diambil alih oleh kontraktor baharu bermula pada 19 November lepas.
“Projek pembinaan Jambatan Batang Rambungan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan akan datang.
“Peratusan pembinaan jambatan yang disiapkan oleh kontraktor terdahulu ialah 57 peratus.
“Namun, ‘projek sakit’ itu sekarang diambil alih oleh Syarikat Titanium Project Management Sdn Bhd yang dilantik sebagai kontraktor penyelamat bermula pada 19 November lepas,” katanya selepas meninjau pembinaan jambatan Batang Rambungan di sini hari ini.
Projek jambatan Batang Rambungan sepanjang 560 meter itu sepatutnya siap Disember 2022.
Apabila siap oleh kontraktor baharu dalam tempoh dua tahun ini, ia akan mengakhiri penggunaan feri yang menghubungkan Kuching-Lundu-Sematan, sekali gus memendekkan perjalanan di lokasi ini.
Uggah berkata berdasarkan peraturan ditetapkan, pihak kontraktor baharu itu diberi tempoh sebulan untuk menunjukkan kemajuan kerja berjalan lancar bermula 19 November hingga 19 Disember 2024.
“Sekiranya pihak kontraktor tidak menunjukkan apa-apa perkembangan berkaitan projek tersebut dalam tempoh yang ditetapkan, kerajaan berhak untuk membatalkan tender tersebut.
“Peraturan ini telah dimaklumkan dan ditetapkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg” katanya yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan.
Katanya, setiap kontraktor yang mengambil tender untuk menyelamat sesuatu ‘projek sakit’ perlu berdaftar dibawah ‘Kontraktor Penyelamat’.
“Jika kontraktor tidak berdaftar, mereka tidak boleh dilantik sebagai kontraktor penyelamat kepada mana-mana projek,” katanya.
Sehubungan itu, Uggah menyifatkan kontraktor yang mengambil alih projek pembinaan Jambatan Batang Lupar memberikan komitmen sepenuhnya dan wajar dicontohi
“Kontraktor yang membina jambatan Batang Lupar melakukannya dengan baik meskipun terdapat beberapa isu kecil,” katanya.
Uggah optimis dan akan terus memantau berkaitan projek-projek pembinaan yang masih dijalankan agar terus berjalan lancar
Beliau berkata pemantauan masih diteruskan oleh kementeriannya terhadap 15 projek pembinaan jambatan di seluruh negeri.
Uggah menasihatkan kontraktor agar segera menyelesaikan sebarang isu yang timbul untuk memastikan jambatan siap dalam masa ditetapkan.
Hadir sama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo dan Setiausaha Tetap MIPD, Datuk Chiew Chee Yau.
Oleh Noor Ikmal