KUCHING: Songket Sarapride, Pusat Vokasional Industri (PVI) di Penjara Puncak Borneo mencuri tumpuan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Baginda berkenan mencemar duli melawat Songket Sarapride hari ini untuk melihat sendiri proses menenun dan hasil siap kain songket berkenaan.
Keberangkatan tiba Baginda pada 10.00 pagi tadi disambut oleh isteri kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak II, Datin Melinda Claudia Bucking.
Hadir sama, Pengerusi Sarawak Media Group (SMG) Dato Norhyati Ismail, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak Datu Dr Sabariah Putit, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak Noor Seela Noor Sulaiman.
Kunjungan Tengku Permaisuri Norashikin dimulakan dengan sesi taklimat ringkas yang disampaikan oleh Penolong Ketua Unit Vokasional Industri Penjara Puncak Borneo Inspektor Zul Fikri Muhamat.
Baginda kemudiannya mencemar duli ke tempat tenunan songket dan melihat sendiri demonstrasi serta proses pembuatan songket yang dipersembahkan oleh klien Penjara Puncak Borneo.
Baginda bersama rombongan, seterusnya diiring ke dewan pameran yang mempamerkan hasil tenunan songket yang telah siap sebelum berkenan menghadiri majlis santapan ringkas di Penjara Puncak Borneo.
Baginda meluangkan masa kira-kira satu jam sebelum berangkat pulang untuk agenda seterusnya iaitu mencemar duli ke Kek Lapis Warisan Sdn Bhd.