KETIKA Sarawak sudah umum dan bersedia memulakan peperiksaan sendiri mulai tahun depan bagi menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tiba-tiba Putrajaya menyatakan bahawa keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) memansuhkan pembelajaran berorientasikan peperiksaan terhadap murid sekolah bertujuan mengurangkan tekanan mereka.
Tetapi KPM sebelum ini tidak menolak, malah menyokong langkah kerajaan Sarawak memperkenalkan peperiksaan Pentaksiran Standard untuk pelajar Tahun 6 mulai 2025 bagi sekolah kerajaan di negeri ini.
Di Dewan Rakyat kelmarin, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyatakan bahawa KPM mengambil pendekatan agar tumpuan pembelajaran di sekolah berasaskan inquiry (pertanyaan), eksplorasi, pengalaman, contextual (mengikut konteks) serta pentaksiran yang sepenuhnya melihat kepada pembangunan holistik murid.
“Pentaksiran bilik darjah ini akan beri satu tanda aras lebih baik khususnya untuk melihat dan menilai anak-anak lebih holistik melibatkan komponen pentaksiran bilik darjah, jasmani, sukan dan kurikulum dan juga psikometrik serta kecenderungan murid. Pendekatan yang kita ambil untuk memastikan tiada lagi tumpuan diberikan kepada orientasi peperiksaan dan mengurangkan tekanan mereka, sebaliknya menawarkan satu ekosistem pembelajaran jauh lebih menarik,” katanya pada sesi soal jawab.
Fadhlina dalam ucapannya itu tidak menyentuh tindakan kerajaan Sarawak mempunyai peperiksaan sendiri mulai 2025 tetapi kenyataannya bagaikan bayangan bahawa langkah itu akan memberi tekanan kepada murid.
Bagaimanapun, warganet memberi pelbagai reaksi apabila FB Utusan Sarawak memaparkan kenyataan Menteri Pendidikan itu terutama berkaitan usaha memansuhkan pembelajaran berorientasikan peperiksaan terhadap murid sekolah bertujuan mengurangkan tekanan mereka.
Ada yang kata tanpa ujian dan peperiksaan dalam sekolah, murid menjadi leka; ‘Jadi, belajar untuk apa… apa yang ada untuk uji, apa yang dipelajari selama ini?,” kata seorang lagi warganet. Sambung pula seorang lagi ‘ujian adalah penilaian kualiti dan kefahaman.’ Tiada peperiksaan, akan menyebabkan murid ketagihan gajet, kata mereka.
Antara yang menarik ialah komen seorang pengguna berbunyi: “Saya lebih suka ada exam biar anak-anak bersedia, belajar gunakan masa. Sebagai ibu bapa perlu tahu tingkat kemampuan anak, jangan tekan sangat anak untuk dapatkan pointer yang kita mahu…biar dia perbaiki diri sendiri dari semasa ke semasa.” Komen lain termasuk yang berbunyi ‘Tanpa peperiksaan, IQ pelajar pun jadi rendah. Otak tidak berapa berfungsi’.
Bergerak ke hadapan, semua pelajar Program Dwibahasa (DLP) Sarawak di Tahun 6 mulai 2025, dan Tingkatan 3 mulai 2028 akan menduduki peperiksaan Pentaksiran Standard. Ini adalah peperiksaan sendiri dirangka kerajaan Sarawak bagi menggantikan UPSR dengan bantuan kepakaran Cambridge University Press and Assessment.
TIDAK BERTENTANGAN DASAR PENDIDIKAN NEGARA
Untuk rekod, Fadhlina selaku Menteri Pendidikan sebelum ini menyokong cadangan Sarawak untuk merangka sistem penilaian sendiri dan mengesahkan ia tidak bertentangan dengan dasar pendidikan negara serta masih lagi seiring dengan hala tuju KPM.
Sebenarnya, perubahan dalam sistem penilaian ini berlaku selepas Kerajaan Persekutuan memansuhkan pentaksiran tingkatan 3 pada Jun 2022, berikutan kesan pandemik COVID-19 yang menyebabkan ujian tersebut tidak dilaksanakan pada 2020 dan 2021. Selain itu, UPSR untuk darjah enam juga dibatalkan pada 2021.
Ujian UPSR diperkenalkan pada 1988 bagi menggantikan Penilaian Darjah Lima. Namun pada April 2021, Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Radzi Jidin, mengumumkan pemansuhan peperiksaan terbabit susulan pandemik COVID-19. Isu ini menjadi polemik tahun lalu kerana ramai pihak di seluruh negara mahu ia dihidupkan semula. Malah sebahagian Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang di Dewan Rakyat meminta Kementerian Pendidikan meneliti semula cadangan pelbagai pihak supaya UPSR dikembalikan sebagai kayu ukur terbaik menilai prestasi pelajar pada peringkat sekolah rendah.
Antara alasannya ialah ketiadaan sistem penilaian berpusat seperti UPSR menjadikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) juga sukar untuk menilai keupayaan dan potensi sebenar pelajar. Bagi Sarawak pula, ketiadaan UPSR menyukarkan penilaian dalam memutuskan sama ada murid terbabit perlu diletakkan dalam aliran sains atau sastera.
Bagaimanapun, pada Oktober 2023, Menteri Pendidikan memaklumkan UPSR tidak akan dikembalikan walaupun ada permintaan daripada ibu bapa untuk menjadikan peperiksaan itu sebagai penanda aras pencapaian anak mereka. Sebaliknya, tumpuan KPM ialah Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 dalam membangunkan kurikulum baharu, bagi memastikan pendidikan masa depan yang lebih baik.
Berikutan itu, Sarawak mengambil tindakan berani untuk melaksanakan sendiri penanda aras pencapaian murid setelah KPM memutuskan untuk tidak mengembalikan UPSR, sekali gus muncul sebagai negeri pertama berbuat demikian.
Pada 1 November 2023, kerajaan Sarawak bercadang merangka sistem penilaian sendiri itu bagi menggantikan UPSR di semua sekolah kerajaan di negeri ini. Namun, ia juga menjadi perdebatan dan isu kerana dasar pendidikan di bawah Kerajaan Persekutuan melalui KPM.
Kemudian Fadhlina selaku Menteri Pendidikan memberi jawapan positif apabila menyatakan bahawa cadangan Sarawak untuk merangka sistem penilaian sendiri bagi menggantikan UPSR tidak bertentangan dengan dasar pendidikan negara dan masih lagi seiring dengan hala tuju KPM.
“Sekarang, tujuan dan hala tuju kita (KPM) adalah untuk mengukuhkan pentaksiran. Jadi, kalau Sarawak masih lagi berada dalam landasan pentaksiran ini, saya fikir ia tidak jauh (bertentangan) dan kita sedia membantu Sarawak mengukuhkan usaha itu,” katanya pada majlis pelancaran Dasar Pendidikan Digital (DPD) di Bangi.
PERSEDIAAN UNTUK SPM
Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 18 November lepas mengumumkan bahawa Sarawak akan melaksanakan Penilaian Standard Program Dwi Bahasa (DLP) membabitkan murid Tahun Enam mulai tahun depan. Kohort pertama DLP Sarawak yang dimulakan pada 2020 akan memasuki Tahun Enam pada 2025, sekali gus menjadi kumpulan pertama menjalani penilaian standard.
“Bagi murid Tahun Enam, penilaian untuk program DLP akan dimulakan tahun depan, manakala bagi pelajar Tingkatan Tiga bermula 2028. Objektif utama penilaian itu adalah untuk mengenal pasti kemajuan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di bawah program DLP Sarawak,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang DUN.
Menurut Sagah, kerajaan Sarawak berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan kerana telah memberikan kelulusan untuk melaksanakan penilaian itu. Penilaian standard itu juga berfungsi sebagai persediaan awal bagi membantu pelajar membina kemahiran dan keyakinan yang diperlukan untuk menduduki peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Bagi Tahun Enam, kementerian saya dengan kerjasama Cambridge University Press and Assessment, institusi pengajian tinggi milik Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan sekolah swasta di Sarawak, kini sedang membangunkan instrumen penilaian itu. Cambridge University Press and Assessment menyediakan kepakaran untuk memastikan standard yang ditetapkan setaraf dengan penanda aras antarabangsa.
“Usaha kolaboratif ini akan membolehkan Penilaian Standard pertama bagi DLP Sarawak di Tahun Enam dilaksanakan pada 2025, meliputi mata pelajaran Sains, Matematik, dan Bahasa Inggeris. Justeru, saya menyeru semua pihak berkepentingan termasuk guru, ibu bapa, dan komuniti untuk menyokong inisiatif ini bagi memastikan kejayaannya dan meningkatkan kualiti pendidikan di Sarawak,” katanya.
Seramai 6,545 guru DLP dari Tahun Satu hingga Tahun Lima dilatih setakat ini, manakala guru-guru DLP Tahun Enam dan Tingkatan Satu akan dilatih pada tahun depan.
“Selain itu, kementerian saya sentiasa bekerjasama dengan JPNS untuk merangka program intervensi DLP yang disasarkan dan disesuaikan serta menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran tambahan bagi meningkatkan lagi keberkesanan DLP Sarawak. DLP Sarawak berbeza dengan Program DLP Kebangsaan, kerana di Sarawak menggunakan pendekatan 100 peratus medium bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik di semua sekolah rendah kerajaan,” kata Roland Sagah.
Komen seorang warganet: ‘Pelajar sekolah dulu-dulu berbangga dan berpeluang menduduki peperiksaan ‘Common Entrance’ untuk darjah (tahun) enam. Siapa gagal, tidak boleh masuk Tingkatan Satu. Kemudian periksa lagi Tingkatan Tiga dan jika gagal tidak layak masuk Tingkatan Empat. Ini yang melahirkan pelajar matang apatah lagi di Sarawak, memang guna bahasa Inggeris’.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.