SIMANGGANG: Para pengunjung berpeluang bersiar-siar serta menikmati permandangan menelusuri perairan Sungai Batang Lupar dengan perkhidmatan KTSA River Cruise sepanjang empat hari berlangsungnya penganjuran Pesta Benak 2024 bermula esok.
Pengerusi Jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) Kampung Tengah Sri Aman, Kiffle Morni berkata pakej ditawarkan KTSA River Cruise ialah sejauh 3 kilometer (km) dari Jeti Nelayan Kampung Tengah ke Dermaga Lubok Sapi hingga ke Jambatan Batang Lupar 2 dan berpatah balik ke Jeti Nelayan Kampung Tengah.
“Pihak JKKK bekerjasama dengan Jawatankuasa Nelayan Kampung Tengah dan menyediakan sebanyak 12 bot bagi memberi peluang kepada pengunjung bersiar-siar serta merasai kemeriahan Pesta Benak 2024 di sepanjang perairan Sungai Batang Lupar.
“Bukan itu sahaja, pengunjung yang akan menggunakan perkhidmatan KTSA River Cruise ini juga bakal menyaksikan perlumbaan perahu laju atau lebih dikenali Regata Benak dan perlumbaan bot laju yang bakal bermula Khamis ini.
“Lebih menariknya, para penumpang berpeluang melihat dengan mata sendiri pemandangan indah yang jarang dilihat seperti fenomena benak dengan lebih dekat lagi, dan aksi luncur benak daripada peluncur benak luar negara” katanya ketika ditemui.
Kiffle berkata bagi sebuah bot akan menampung seramai lapan orang penumpang pada satu-satu masa dan keselamatan penumpang akan sentiasa dititikberatkan terutamanya mewajibkan penggunaan jaket keselamatan.
“Harga RM15 dikenakan untuk penumpang dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak sepanjang acara saringan diadakan, manakala harga bagi pertandingan akhir Regata Benak bagi merebut gelaran Raja Sungai Batang Lupar serta acara akhir maraton adalah berlainan iaitu untuk dewasa sebanyak RM20 akan dikenakan,” katanya.
Justeru, Kiffle mengalu-alukan para pengunjung yang menyaksikan penganjuran Pesta Benak yang bermula 28 November hingga 1 Disember ini tidak melepaskan peluang untuk menggunakan perkhidmatan KTSA River Cruise yang bermula esok jam 8 pagi hingga 6 petang.
Katanya, pengunjung boleh mendapatkan tiket tersebut di kaunter Jeti Nelayan Kampung Tengah Sri Aman atau boleh menghubungi beliau ditalian (019-7398780) untuk maklumat lanjut.
Dalam perkembangan lain, Kiffle berkata pihaknya berterima kasih kepada kerajaan kerana telah meluluskan peruntukan bagi Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) berjumlah RM100,000 kepada JKKK Kampung Tengah Sri Aman.
“Peruntukan tersebut juga telah membolehkan pihak kami membeli sebanyak dua bot gentian kaca (fiberglass) yang turut merangkumi dua enjin berkuasa tinggi.
“Kami (JKKK) berharap kemudahan yang disumbangkan oleh kerajaan ini akan dimanfaatkan kepada penjanaan ekonomi penduduk sekali gus menambah pendapatan JKKK itu sendiri,” katanya.
Oleh Adi Safarman