Oleh: Roslan Jomel
“Terkadang bukan orangnya yang berubah, tapi topengnya yang jatuh.” – Haruki Murakami.
DALAM kolum Lingkaran Seni di laman sesawang akhbar Sinar Harian bertarikh 4 Februari 2024, dalam sebuah rencana bertajuk “Pemikiran Tunjang Karya Sastera”, Mana Sikana menekankan betapa mustahaknya sesebuah pemikiran untuk memperkuat premis penulisan karya kreatif. Tanpa pemikiran, sesebuah karya sudah tentu tidak menjentik akal dan wacana. Pemikiran, menurut beliau, adalah aspek terpenting dan menjadi dasar pembangunan sesebuah pengkaryaan. Di peringkat antarabangsa, karya juga diukur dari sudut pemikiran untuk memperlihatkan pegangan dan subjektiviti pengarang. Tidak dinafikan unsur-unsur pemikiran diterima sebagai tunjang dan akar kepada teras penulisan sastera yang bagus.
Aspek dalaman itu sejajar dengan gelombang kesusasteraan dunia, yang amat menitikberatkan kedalaman pemikiran. Sikap dan gagasan seseorang pengarang terpancar daripada perwatakan peran utama dalam sesebuah karya. Sebuah karya atau tokoh (pengarang dengan wataknya), yang tidak menunjukkan kekuatannya dalam aspek pemikiran, secara tidak langsung menunjukkan kedudukannya – sebagai pengarang – belum lagi kuat dan kukuh (kredibiliti). Mana Sikana menegaskan, nilai teks harus mengandungi ajaran, pegangan dan jika perlu, menghukum masyarakat. Istilahnya dalam karya sastera, kritikan sosial.
Hal ini demikian kerana, naskhah-naskhah sastera, secara lazimnya menyentuh semua sudut kehidupan, termasuk politik, yang mempengaruhi sistem pemerintahan negara. Ada waktunya ia berisi protes sosial dan kritikan, yang tujuannya untuk membentuk masyarakat agar peka dengan situasi yang melingkari kehidupan mereka. Tidak dinafikan, pemikiran juga berkaitan secara intim dengan tujuan atau motif karya. Sesebuah karya yang membawa jeritan rakyat, penindasan dan kezaliman, tujuan utamanya adalah supaya pihak berkuasa menjadi sensitif dan menyedari keterlanjuran perbuatan mereka. Bukan semata-mata fiksyen. Pengarang menyedarkan tentang gejala kepincangan dan penyelewengan dalam masyarakat disebabkan berlakunya ketidakadilan dan kelalaian dalam sistem pengurusan.
Demikian, isi dan wawasan yang terakam dalam naskhah tulisan Mohd Fadzly Haji Miswan dengan tajuk “Pengundi Kecil Masa Hadapan”. Jelas, ia sebuah naskhah yang sengaja ditulis dengan maksud supaya bakal pemimpin dalam generasi baharu segera sedar akan janji dan prinsip yang sebelum ini dipegang. Waktu muda, semua yang dibayang dan dihasratkan memang muluk dan ideal. Dan sebagaimana yang kerap berlaku, setelah kuasa dan gelaran kebesaran sudah digenggam, mereka mudah lalai dan buat-buat lupa tentang iltizam untuk membina bangsa dan negara yang dicita-citakan. Mengapa hal demikian berlaku? Mengapa manusia mudah terpengaruh oleh kekuasaan? Dan mengapa kekuasaan menjadi suatu alat paling berkesan untuk meraih pulangan material? Itulah dunia sebenar, bukan fiksyen. Namun fiksyen yang bagus, menawarkan pengalaman nyata tentang perangai manusia.
Latar kisah berlaku dalam dewan serba guna yang rupa asalnya agak daif, tetapi dihias dengan cantik sehingga harus menggunakan duit penduduk kampung sendiri. Kononnya Waibee yang dijemput hadir untuk memberikan ucapan akan menyampaikan berita yang baik. Ia bagaikan hadiah yang amat ditunggu-tunggu. Persatuan anak-anak muda bertungkus-lumus untuk melaksanakan program itu. Tidak dapat dibayangkan betapa indah lokasi itu buat menyambut tokoh yang dibesar-besarkan oleh masyarakat setempat. Hamparan permaidani merah, bunga-bunga disusun dan jamuan makan pasti disediakan untuk menambahkan lagi kemeriahan suasana.
Watak Mak Jah mendominasi hampir keseluruhan naskhah, dan Amir, sebagai Waibee di Kampung Jenang (pembaca tentu maklum gelaran itu sengaja ditulis sebegitu) menerima tamparan atas sikap lupa daratannya sendiri pada penghujung cerita.
Dari awal naskhah, pengarang mempertembungkan kedua-dua watak yang berkonflik dan diserlahkan sikap dan pemikiran mereka berdua. Tunduk kepada godaan material atau teguh dengan pendirian peribadi? Mak Jah tidak mengalah dengan sindiran daripada hadirin sekeliling. Di mata mereka, Mak Jah dianggap sudah nyanyuk dan buang tabiat. Perosak majlis. Tidak mengikut arus majoriti. Suara bising dan lantang Mak Jah tidak disenangi para hadirin.
Amir sebagai Waibee, ingin memanipulasi penduduk kampung demi kelangsungan kerjaya politiknya. Waibee Amir tentu tidak menjangka adanya penentangan daripada penduduk kampung. Sebagai ahli politik, dia dilatih untuk mengendalikan suasana yang kelam-kabut melalui pesona teks ucapannya. Istilah-istilah yang hebat dan absurd akan dilafazkan untuk membuatkan para hadirin berasa kagum. Manakala Mak Jah, merupakan penghalang kepada agenda tersembunyinya. Mak Jah memang sudah berusia, tetapi fikiran dan hati nuraninya, tidak dilunturkan oleh masa dan perubahan suasana sekeliling. Watak yang berani menegakkan kebenaran dan berprinsip memang ramai musuhnya. Itulah adat dunia dari dahulu lagi.
Mak Jah yang berusia 70-an bukan seorang wanita biasa, tidak mudah digula-gulakan dengan sebungkus nasi, tetapi seorang insan yang mempunyai akal terang dan fikiran murni untuk masa depan penduduk kampung. Ada sebabnya mengapa Mak Jah naik angin dengan Waibee Amir. Mak Jah sudah muak mendengar retorik orang-orang besar yang kononnya ingin membawa kemajuan kepada penduduk kampung. Hakikatnya, jauh panggang dari api. Mak Jah bukannya membantah tanpa berfikir dan menurut tanpa menyelidik. Ada bezanya tidak beradab dengan berani tetapi berprinsip. Dua aspek kemanusiaan itu sudah mulai luntur dalam masyarakat sekarang. Tidak semua manusia terliur dengan kalungan keduniaan. Wang, harta, kedudukan, tidak akan kekal. Namun, itulah yang digila-gilakan oleh ramai manusia sehingga sanggup merasuah. Apabila rasuah sudah merasuk ke dalam pertimbangan, hasilnya adalah sebuah kepalsuan. Indah dan cantik di mata, tetapi hitam di baliknya.
Mak Jah sudah arif dengan taktik dan helah orang-orang berpengaruh. Tanah-tanah milik orang kampung digadai demi menyediakan kos perbelanjaan akademik akhirnya terbengkalai begitu sahaja. Paling menyedihkan, ia kini dimiliki oleh warga asing. Apa akan terjadi jika kesemua penduduk kampung menggadai tanah mereka demi mendapatkan keuntungan dalam sekelip mata? Adakah insiden demikian tidak berlaku di dunia nyata? Hal yang membimbangkan itulah yang menusuk perasaan dan fikiran Mak Jah. Dia perlu bergerak sendirian menentang dakyah kepura-puraan waibee Amir. Siapa lagi hendak diharapkan? Para hadirin lebih memuja Waibee Amir dan terlupa bahawa kehidupan mereka tetap sahaja serupa sejak dahulu.
Walaupun Waibee Amir cuba berdalih dan memaniskan kata-katanya dalam ucapan, Mak Jah bukanlah budak hingusan yang baru mengenal dunia. Dia mengerti muslihat manusia seumpama Waibee Amir seperti dia mengenal telapak tangannya sendiri. Setinggi mana pun pendidikan yang seseorang itu perolehi, ia bukan lesen untuk membodoh-bodohkan orang kampung. Dari perspektif Mak Jah, mereka yang miskin terus kekal merempat. Sedangkan mereka yang kaya dan terus menambahkan kekayaan, kian terapung di alam kayangan. Mak Jah tidak mahu ditipu berulang-ulang oleh individu seperti Waibee Amir di kampungnya sendiri.
Pengarang, bertindak dengan lebih ideal untuk menyampaikan gagasannya apabila memunculkan seorang budak lelaki berusia dua belas tahun, bernama Aiman, yang tidak semena-mena menyokong sikap dan teguran Mak Jah. Tiada sesiapa yang menolak Aiman ke depan untuk menyuarakan pendapatnya. Jika kita tidak berani mempertanyakan sesuatu perkara dan hanya tunduk menurut, siapa yang akan peduli dengan nasib kita? Demikian kata-kata dari budak lelaki berusia 12 tahun. Ia suatu kesedaran dari dalam dirinya. Putih bersih tanpa tercemar oleh nafsu duniawi. Ia adegan yang sungguh dramatik. Bahkan menepati tajuk naskhah yang dipilih oleh pengarang. Sementara hadirin yang tua, sebaliknya duduk dan diam.
Pengarang menyematkan suatu amanat besar dalam naskhahnya. Kehebatan sesebuah bangsa bermula daripada pemikiran anak muda yang tulus dan berjiwa besar. Seandainya akal dan perasaan anak muda sudah mula rosak akibat dicemari oleh mentaliti negatif warga-warga senior, bayangkan, apa yang bakal terjadi kepada sesebuah bangsa dan negara. Tiada lagi idealisme, budaya keilmuan dan pedoman dalam sesebuah negara itu. Akibat terlalu mengejar harta duniawi dan kepentingan peribadi. Sesebuah negara memerlukan Hang Nadim yang besar jiwa dan tajam akalnya. Bukannya menjadi orang-orang tua yang sekadar tukang angguk demi mendapatkan laba daripada tokoh-tokoh tertentu. Namun, untuk mencapai matlamat yang baik itu, bukan semata-mata keberanian diperlukan. Tetapi juga prinsip yang benar. Bukan untuk melampiaskan kepuasan sendiri semata-mata.
Peristiwa dalam kampung Jenang hanyalah cebisan insiden yang memang berlaku di alam nyata. Tanah-tanah dikorbankan demi mewujudkan kilang dan ladang. Anak-anak muda di kampung yang tidak menggemari buku dan menimba ilmu, sudah tentu mudah dipancing oleh tawaran pekerjaan. Sikap serupa terpalit pada tokoh di kampung yang dipilih sebagai ketua, namun tergamak memejamkan mata walaupun sedar keadaan yang berlaku di kampung akan mendatangkan bencana. Lambat tetapi pasti, orang-orang di kampung akhirnya mengemis kepada orang-orang asing yang menjadi pemilik kilang dan ladang. Sudah terlambat. Di dunia yang berorientasikan materialisme dan serba menyakitkan ini, nilai integriti dan ketulusan, bagaikan sebuah kisah mitos.
Watak seumpama Waibee Amir hanyalah salah satu contoh yang cukup dimaklumi. Berasa diri besar kerana disanjung-sanjung oleh penyokong yang taasub. Setelah mencapai kejayaan dalam bidang akademik hasil daripada pengorbanan keluarga di kampung, Waibee Amir seakan-akan mabuk oleh kesenangan yang dimilikinya sebagai orang penting dalam siasah. Status sosialnya lebih tinggi daripada orang-orang kebanyakan. Zaman demi zaman, manusia Malim Kundang seperti Amir wujud dan bersikap kacang lupakan kulit dengan memanfaatkan gelaran kehormatnya. Segala titik peluh ayah dan ibu yang membesarkan dan membanting tulang demi mendapatkan duit, agar si anak membesar menjadi insan berguna kepada bangsa dan negara, melebur oleh ketamakan dunia. Manusia memang diciptakan serba lemah. Salah pendidikan atau salah individu itu sendiri?
Isi yang tertulis dalam surat yang dibaca oleh Waibee Amir di dalam dewan serba guna di kampung Jenang telah menceritakan inti utama naskhah karangan Mohd Fadzly Haji Miswan. Ia isu yang relevan dengan keadaan semasa. Aspek pendidikan dan isu pemilikan tanah. Dua aspek itu sangat serius. Tanpa berbasa-basi, pengarang dengan pendekatan terus-terang, menzahirkan kritikan pedasnya tentang kerosakan moral yang berlaku dalam kalangan warga tempatan. Dialog menjadi saluran pengarang untuk melontarkan teguran-teguran tajam tentang kemunafikan manusia di sekeliling. Tanpa fikiran yang murni dan berpandangan jauh ke hadapan, akan muncullah orang-orang yang lebih mengutamakan wang daripada nasib bangsa. Malangnya, watak seperti Mak Jah akan sentiasa dibenci kiri dan kanan.
Surat yang remuk di tangan Mak Jah, kemudian dilemparkan tepat ke muka Waibee Amir, kini menggetarkan hati nurani lelaki yang tertelan oleh nikmat kekuasaannya. Waibee Amir dipermalu di hadapan penduduk kampung. Jika dilihat dengan mata kasar, perbuatan Mak Jah memang kurang ajar. Tetapi, Mak Jah sudah tidak dapat menahan sabar dengan kerenah orang-orang terhormat yang bijak bermain bahasa. Lebih menyakitkan hati Mak Jah, Ketua Kampung yang diharapkan untuk menjadi orang bijaksana dan memperjuangkan nasib warga-warga kampung, dua kali lima. Banyak topeng palsu, sindir Mak Jah sebelum beredar meninggalkan dewan serba guna.
Isi surat dibaca oleh Waibee Amir kepada para hadirin dalam dewan serba guna, terasa bagaikan menyayat emosi Waibee Amir. Warkah yang berisi teguran dan pandangan itu ditulis oleh Amir sendiri dua puluh tahun lalu. Amir ketika itu mahukan Waibee untuk mempertimbangkan beberapa persoalan demi kemajuan warga-warga kampung. Teguran Amir bertujuan untuk kemajuan penduduk di kampung. Berilah peluang sama rata kepada anak-anak kampung yang cemerlang dalam mata pelajaran untuk mendapat tempat di institusi pendidikan. Kebanyakan penduduk kampung miskin, berbeza dengan mereka yang berada di bandar. Keadilan perlu ditegakkan. Juga turut disentuh, watak-watak hipokrit sering berkeliaran dalam kalangan penduduk setempat dan mereka yang bertalam dua muka itu sentiasa bersikap oportunis.
Naskhah bernada kritikan sosial itu, mengembalikan semula watak Amir yang idealis dan bercita-cita murni. Lontaran keras surat ke arah mukanya oleh Mak Jah mengingatkan Amir, gelaran kehormat dan pendidikan yang diperolehnya merupakan beban amanah dan tanggungjawab. Bukan suatu kesempatan untuk membesar-besarkan kelebihan diri. Belum terlambat buat Amir untuk menjadi dirinya yang sebenar. Rasa bersalah dan menyesal menikam emosi dan fikirannya. Dua puluh tahun yang lalu, Waibee Amir mungkin sahaja naif dan belum mengerti permainan duniawi. Sekarang, setelah diangkat menjadi tokoh masyarakat, seharusnya Waibee Amir sudah mula memperlihatkan karakter dan sikap selayaknya sebagai insan yang bermanfaat kepada bangsa dan negara. Dunia sedang mengujinya.
Watak Amir ketika berusia 12 tahun dan Mak Jah yang sudah melewati 70-an mengingatkan teguran Syed Hussein Alatas dalam buku Intelektual Masyarakat Membangun, tentang betapa penting manusia berfikir untuk masyarakatnya. Jika manusia-manusia yang kritis dan berjiwa besar sudah tiada lagi, maka muncul orang- orang pandir menguasai ruang dan wacana nasional. Sikap dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh kedua-dua tokoh dalam naskhah “Pengundi Kecil Masa Hadapan” menjadi teras kepada haluan masa depan bangsa dan negara.
Sebagai pengarang, Mohd Fadzly Haji Miswan sudah memperlihatkan suatu sikap, mentaliti dan arah dalam penulisannya. Karya sastera yang baik, bukan sahaja memindahkan realiti semasa yang berlaku, malahan juga menjadi pelantar untuk meluruskan sikap masyarakat.