Oleh: Mohd Fadzly Haji Miswan
“EH, salah. Kamu tak sepatutnya buat begitu! ” jerkah Mak Jah pada Waibee Kampung Jenang sambil bercekak pinggang. Herot-berot mimik mukanya kerana terasa digula-gulakan. Nekad sungguh tindakan Mak Jah apabila cadangan yang satu itu ditolak mentah-mentah.
“Kamu lupa dengan janji-janji kamu dahulu untuk menjaga kampung ini hasil kamu belajar daripada kesusahan lampau.” Buntang biji matanya menjegil dan mempersoal kewibawaan Waibee.
Mak Jah menghampiri Waibee Amir lalu melemparkan segumpal kertas usang tepat mengenai muka lelaki yang sepatutnya membela nasib penduduk Kampung Jenang.
Merah padam muka Waibee diperlakukan sedemikian. Malahan riaknya terkejut dengan tindakan Mak Jah. Diambil gumpalan itu lalu dibuka, dilurut renyukan dan hampir bertaup kening saat membaca isi kandungannya. Waibee merenung Mak Jah. Mengangguk lemah lalu membiarkan Mak Jah meluah rasa kekecewaannya.
Suasana agak tegang. Kelihatan gusar hati seluruh penduduk yang hadir kalau-kalau Mak Jah akan bertindak di luar batasan. Masing-masing berpandangan dan saling berbisik menyindir. Bingkas bangun sebaris pemuda-pemuda kampung menyelar tindakan Mak Jah. Mereka itu adalah persatuan anak-anak muda kampung yang bertungkus-lumus dalam merealisasikan program tersebut. Acara pagi itu yang sepatutnya menjadi gilang gemilang, dicemari insiden yang tidak terduga. Ucaptama Waibee disanggah Mak Jah bulat-bulat. Marah sungguh mereka dengan Mak Jah kerana telah merosakkan suasana.
“Dah datang gilanya. Menyampah.” Ada suara nakal terpacul dari seorang wanita pertengahan umur bereaksi daripada kelakuan Mak Jah.
“Tua-tua pun tak beradab. Malu aku nak mengaku saudara. Pukul anak sindir menantu,” giliran seorang lelaki berkopiah biru itu pada rakannya sambil menghisap rokok daun.
“Aah, gila isim. Padahal dulu dialah beria-ia memperjuang nasib kampung bersama-sama anaknya. Tak sedar diri!” tempelak yang lain.
“Ini jenis manusia yang suka duduk seorang diri. Patutlah anak menantu tak sanggup jaga dia. Mulut lancang sangat!” teriak seorang lagi pemuda dari sebelah kiri dewan.
Mak Jah buat-buat tak dengar. Malas nak melayan riuhan anak ayam yang dah tertelan dedak tiruan bertahun-tahun lamanya. Serupa tin kosong. Kalau dilayan, dia juga serupa seperti mereka.
“Jah, tolong jangan buat hal lagi. Cukup-cukuplah.” Kali ini Tok Ketua pula bersuara tatkala melihat kelantangan wanita berusia 70-an itu yang agak berani berkonfrontasi. Sebagai ketua kampung yang hampir sebaya, malu juga dengan sikap Mak Jah.
Kepakan dada Mak Jah tak ubah seperti ayam betina yang berang. Walau usianya sudah lanjut, ingatan Mak Jah masih belum nyanyuk dengan apa yang telah berlaku di kampung itu. Kudratnya pun masih luar biasa. Mungkin cara hidupnya dulu membuatkan Mak Jah tidak seperti rakan-rakan seperjuangan yang telah lama ditelan tanah.
“Tok pun sudah lupa pegangan kita dulu atau tok pun dah termakan umpan?” selar Mak Jah pada Tok Ketua.
Kali ini giliran Tok Ketua terkulat-kulat menahan kata.
“Err… Aku tak pernah lupa dan aku pun belum nyanyuk lagi. Sekurang-kurangnya, berilah Waibee peluang untuk membantu kampung kita.” Balas Tok Ketua sambil mengetap bibir memandang Mak Jah.
“Sampai bila nak bagi peluang? Kamu pun sama, Tok. Lupa daratan. Kamu tak ingat, masa Midah nak pergi universiti. Kamu bergolok gadai. Bantuan apa yang kamu dapat daripada mereka. Tak ada kan?”
Tok Ketua terdiam. Mengeleng-geleng mengiyakan hakikat itu. Habis berbidang tanah sawit terpaksa digadai untuk melangsaikan urusan pendaftaran universiti anaknya. Kini, Midah sudah pun berkahwin setelah tamat pengajian dan tinggal di ibu kota. Langka sekali Midah pulang ke kampung menjenguk mereka suami isteri. Alasannya, banyak kerja di pejabat dan sukar untuk mendapatkan cuti tahun. Padahal, anak menantu pun tidak betah duduk di kampung yang serba kekurangan.
Mikrofon diketuk beberapa kali sehingga meninggalkan bunyi yang nyaring dan bingit. Orang ramai mula menekup telinga, juga turut mematikan lamunan Tok Ketua.
Waibee mendepang tangannya meminta penduduk kembali senyap.
“Bertenang semua. Apa lagi yang tak cukup, Mak Jah? Semuanya cukup saya dah sediakan. Makanan. Tempat tinggal. Bekalan air bersih. Saya tidak pernah lupa janji saya.” Akhirnya Waibee itu bersuara lembut menjawab tetapi ada tegasnya, meminta penjelasan Mak Jah.
Kelihatan sedikit juihan di bibir Tok Ketua. Mungkin terkesan juga dengan kata-kata Mak Jah tadi.
Waibee membetulkan songkoknya yang senget lalu mengesat wajah yang tidak berpeluh. Memikirkan jawapan yang perlu mematahkan hujah Mak Jah.
“Saya berusaha keras untuk melihat kampung kita ini maju seperti kampung-kampung yang lain. Takkan kalian semua nak jadi katak di bawah tempurung?” Waibee seakan-akan mendapat kekuatan bersuara untuk meraih sokongan.
Bersorak seluruh dewan mendengar jawapan Waibee. Satu kelegaan apabila seorang wakil rakyat memberikan jaminannya.
“Mak Jah nak tengok ke kampung kita ni mundur seperti 40 tahun yang lalu,” tempelak seorang pemuda berusia akhir 20-an.
“Amboi, amboi… kamu pun belum lahir masa tu. Kamu tu budak lagi, tahu apa? Tanah sawah arwah bapak yang kamu jual tu, jadi apa sekarang ni?”
Sindiran Mak Jah membuatkan pemuda itu terkelu. Berdengus kuat kemudian beredar meninggalkan dewan tanpa dipaksa. Panas telinga kerana Mak Jah mengungkit kesilapan silamnya yang terjerat dengan kata-kata manis Waibee terdahulu. Tanah yang dijualnya itu, kini hanya terbiar tanpa sebarang apa yang diusahakan. Penyelewengan dalam urusan jual beli menjadikan tanah itu kini bertukar milik kepada warga asing yang entah tidak tahu apa hendak dikerjakan.
“Mak Jah, benar kata budak tu. Kita perlukan pembaharuan kalau mahu kemajuan. Tiada jalan mudah untuk mencapai kejayaan.” Waibee cuba membela walaupun dia tahu hakikat sebenar bak indah khabar dari rupa. Kadang-kadang dia pun patah kata dengan Mak Jah.
“Itu baru tanah sekangkang kera tergadai. Kalau sudah berbidang-bidang, kamu mahu hidup merempat di tanah sendiri,” Mak Jah melontarkan teka-teki kepada penduduk kampung yang hadir pada pagi itu.
Suasana kembali hingar. Sepatutnya, perasmian pecah tanah untuk membangunkan projek mega di hujung kampung itu berjalan lancar. Awal pagi tadi, senyuman lebar Waibee Kampung Jenang disambut dengan meriah diiring paluan kompang, bunga manggar dan persembahan silat bertukar kelat. Setelah sebulan berhempas pulas persiapan penduduk kampung untuk menjadikan hari bersejarah itu mereka merasakan tidak adil bagi mereka untuk Mak Jah mencacatkannya. Dewan serbaguna yang daif itu dihias umpama istana walaupun terpaksa mengelepet poket sendiri kerana diberitahu ada berita gembira yang akan disampaikan oleh Waibee. Namun sekarang, tidak ubah seperti dewan persidangan yang hiruk pikuk jadinya. Cumanya, tiadalah adegan membaling kerusi atau saling carut-mencarut yang sering dilihat di kaca televisyen.
Manifesto Mak Jah hanya satu. Mengagalkan projek mega tersebut. Baginya, bukan mendatangkan keuntungan, tetapi selangkah lagi ke lubuk kehancuran. Projek yang dicanangkan sejak setahun lalu itu sudah dapat dibaca akan membawa bencana kepada Kampung Jenang. Yang kaya bertambah gaya, yang miskin semakin terhimpit, itu natijah yang Mak Jah nampak.
“Itu bukan salah saya, Mak Jah. Waibee dahulu bukan asal dari kampung ni. Dia tak pernah merasa payah hidup di kampung. Dia tersilap langkah.” Waibee itu cuba membela dirinya. Dia merupakan anak jati kampung tersebut dan dia yakin apa yang diperlukan untuk memajukan kampung tersebut.
“Habis, salah siapa? Salah kami tersalah pangkah? Tengok, mereka seperti menyalahkan kita memilih wakil rakyat,” Mak Jah memulangkan paku buah keras kepada penduduk kampung yang masih terkulat-kulat.
Namun, di sebalik kekecohan, ada suara kecil yang memecah kebuntuan. Seorang kanak-kanak, Aiman, yang baru berusia dua belas tahun, berdiri di tengah-tengah kerumunan dan tiba-tiba bersuara, “Tapi, Mak Jah betul! Kita semua perlu bersuara. Kalau kita tidak bersuara, siapa yang akan peduli nasib kita?”
Semua mata terarah kepada Aiman. Terbelalak mata mereka. Budak kecil itu menyokong tindakan dan kata-kata Mak Jah.
“Eh, budak mentah. Kamu tak tahu apa-apa, jangan nak menyampuk. Pergi main dengan kawan-kawan kamu di luar sana. Jangan nak menyibuk urusan orang tua!” Mak Minah menempelak keberanian suara budak itu.
“Eh, Minah. Sekurang-kurangnya, si Aiman tu nampak apa yang cuba aku sampaikan. Dia juga ada hak untuk bersuara. Tak seperti anak kamu. Penagih dadah yang menjadi sampah kampung. Tak ada masa depan. Berulang alik ke pusat serenti.” Mak Jah mula naik angin hingga terselongkar aib Minah.
Mak Minah menyinsing lengannya. Cepat-cepat beberapa lelaki memegang tangan Mak Minah yang seolah-olah ingin meluru ke arah Mak Jah. Berombak-ombak dada Mak Minah. Malunya bukan kepalang. Mak Jah sengaja menjatuhkan air mukanya.
“Aiman tu bijak orangnya. Tapi apa kesudahannya jika bersekolah dengan kemudahan serba daif. Jambatan ke seberang sekolah pun menunggu rebah. Belum lagi guru yang datang pun sekadar mengajar, bukannya untuk mendidik. Tak ke mana pun. Satu bantuan pun tak dapat.” tingkah Mak Jah bertalu-talu.
“Ah, belum lagi banyak barang-barang masjid kampung kita yang hilang. Tak perlu cakap, si Usin dengan kawan-kawannya punya kerjalah tu.” Mak Jah sinis memandang Mak Minah.
Selama ini, Mak Minah seperti Internet bergerak di Kampung Jenang. Habis dijaja cela orang sampai cerita dalam kain pun dicanangnya. Apabila terkena batang hidung sendiri, tahu pula dia marah.
“Sudah, semuanya! Berhenti! Kamu semua tidak tahu malukah dengan Waibee? Bertekak sesama sendiri. Mencanang aib orang.” Kali ini amarah Tok Ketua tidak dapat dibendung lagi. Kredibilitinya sebagai ketua kampung telah tercalar. Dia gagal untuk menyatukan penduduk Kampung Jenang. Puncanya sebab Mak Jah. Namun suasana masih juga tidak berubah.
“Kamu patut beri jawatan kamu kepada orang lain. Zaman kamu sudah berakhir, Jenal.” Mak Jah membalas dengan lebih lantang.
Selain mengagalkan projek mega tersebut, memang hasratnya hendak mengulingkan Tok Ketua. Sudah dua dekad dia memegang tampuk pimpinan kampung, setelah meninggal ayahnya, Haji Subari. Disebabkan Haji Subari sangat dihormati orang kampung, mereka melantik Jenal sebagai pengganti legasi Haji Subari. Rupa-rupanya, kepimpinan yang baik tidak dapat diwarisi daripada keturunan.
“Berapa guni dedak kamu dah makan, Jenal. Sampai kamu sanggup menggadaikan kampung ni. Kamu ingat aku tak tahu, apa kegiatan kamu selama ini.” Suasana semakin tegang dengan dakwaan Mak Jah.
Giliran Tok Ketua pula naik minyak. Dikepal penumbuknya seakan-akan mahu untuk membelasah Mak Jah yang lancang itu. Segera, beberapa pemuda cuba menenangkan Tok Ketua. Provokasi yang dibuat oleh Mak Jah memang sengaja untuk menjatuhkan Tok Ketua. Untuk memperlihat kegagalan Tok Ketua mentadbir Kampung Jenang.
“Waibee, boleh bacakan apa isi kandungan surat itu. Aku tak kuasa nak duduk lama-lama dalam dewan ini. Banyak topeng-topeng palsu.” Mak Jah terus meninggalkan dewan meninggalkan mereka dalam keadaan terpinga-pinga.
“Baca Waibee, baca!” laungan itu bergema dalam dewan.
Waibee menelan air liur. Perlahan-lahan dia memulakannya.
Ke hadapan Waibee yang dikasihi,
Saya sering bertanya pada diri, apakah jadinya tanah-tanah orang kampung yang telah terjual. Adakah memberi manfaat atau sebaliknya pencetus kemusnahan. Di sebalik pembinaan kilang atau layak dipanggil sarang pekerja asing, langsung anak-anak muda kampung tidak diberikan peluang samarata, hinggakan mereka sanggup berhijrah ke kota mencari rezeki. Ada juga yang malas kerana menunggu subsidi sehingga menagih dadah untuk mencapai bintang di langit.
Waibee,
Jika bantuan sekolah diberikan, kenapa anak-anak kampung terpaksa memilih untuk bekerja di ladang daripada memerah keringat untuk mencari ilmu. Lalu ada rakan-rakan kami yang bijak terpaksa meraih simpati untuk belajar di tempat yang lebih baik, tetapi gagal kerana tiada orang dalam. Jijik sangatkah anak-anak kampung ini untuk bersama-sama anak bandar yang lain menjadi bijaksana?
Kami mahu pembaharuan, tetapi tidak mahu kebebasan kami dicantas. Banyak penyangak kampung asalnya ingin membela tetapi mereka sendiri menjerut perut penyokong mereka. Masalahnya, bukan datang dari orang luar, tetapi dari sini juga. Dan saya berjanji, biarpun terpaksa merempat saya akan memastikan kampung saya tidak akan jadi seperti sekarang.
Yang Ikhlas
Pengundi Kecil Masa Hadapan,
Amir, 5 Cerdas.
Waibee terkesima dengan ayat-ayat dari surat yang pernah ditulisnya dahulu. Tidak sangka, surat yang pernah diberikan kepada mak untuk dihantar kepada wakil rakyat kampung suatu masa dahulu, disimpan untuk tatapannya sekarang.
Menjalar rasa bersalah kerana dirinya sama seperti orang yang pernah ditulisnya 20 tahun yang lalu. Malah, Waibee Amir juga gagal melunaskan janji kepada mak untuk menjadi orang yang berbeza setelah diberi kuasa. Kuasa yang telah mengelapkan mata hatinya.
“Mak, maafkan Amir!” Waibee mencari susuk Mak Jah yang sudah hilang dari keributan dewan itu.