SIMANGGANG: Enam laluan di kawasan Bandar Simanggang sedang dalam proses penutupan, pemasangan khemah dan lencongan bermula petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mathew Manggie berkata, proses ini bertujuan memberi laluan kepada penganjuran Pesta Benak Sri Aman edisi ke-21 yang dijadual bermula 29 November hingga 1 Disember ini.
Tiga daripada enam laluan jalan terbabit adalah Jalan Club (hadapan restoran Tandang Sari), Lorong 2 Jalan Club dan Jalan Dato (kawasan Kubu Alice@Muzium Warisan Sri Aman).
Baki tiga lagi laluan berkenaan adalah sepanjang Jalan Main Bazaar, Jalan Sabu Lama (hadapan Majlis Daerah Sri Aman@MDSA) dan Jalan Kapitan.
“Untuk makluman semua penduduk, proses berkenaan sudah bermula pada jam 2 petang semalam dan akan berakhir pada jam 12 tengah malam pada 1 Disember.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman telah menetapkan aliran trafik dan lencongan berhubung penutupan tempat serta persimpangan jalan sekitar kawasan ini bagi memastikan kelancaran aliran trafik di bandar ini sepanjang tempoh itu,” katanya.
Justeru, orang awam serta pengguna jalan raya katanya, dinasihat untuk merancang perjalanan dan sentiasa mematuhi tanda-tanda isyarat pihak polis trafik serta dilarang meletak kenderaan di bahu jalan yang akan menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Oleh VALENTINE NGUMBANG