KUCHING: Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS) akan mengadakan Konsert Sape di Plaza Merdeka di sini pada 7 Disember ini.
Ketua Pegawai Eksekutif YPS, Datu Aloysius J. Dris berkata 20 peserta akan menjayakan konsert itu terdiri daripada 16 peserta tempatan, seorang dari Sabah dan tiga dari Semenanjung.
“Penyertaan peserta tahun ini adalah melibatkan kategori yang berumur 15 tahun hingga 29 tahun
“Antara kaum yang terlibat adalah Melayu, Bidayuh, Iban, Kayan, Kelabit, Cina, Sekapan, Melanau, Orang Asli dan Sino Kadazan.
“Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan lagi konsert tersebut bermula jam 7 malam di Plaza Merdeka Kuching,” katanya pada sidang media Kem Sape 2024 di sini hari ini.
Aloysius berkata konsert itu akan turut dihadiri Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Bertemakan ‘Memupuk Bakat, Memacu Perpaduan”, YPS kali ini bakal menampilkan Duta Sape yang baru sahaja dilantik untuk mempersembahkan bakatnya.
“Penganjuran konsert ini secara tidak langsung dapat memberikan inspirasi kepada generasi muda untuk memahami dan mempelajari budaya sape yang cukup harmoni,” katanya.
Oleh Noor Ikmal