TANJUNG MANIS: Seramai 34 pelajar tahun akhir jurusan Falkuti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) diraikan pada majlis makan malam di Dewan Masyarakat Belawai, malam tadi.
Hadir bagi menyantuni pelajar yang menyertai program anak angkat itu ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.
Katanya, baru-baru ini, penduduk Kampung Belawai, Kampung Jerijeh dan Kampung Rajang telah menerima kedatangan pelajar berkenaan sebagai anak angkat.
“Program anak angkat selama tiga hari dua malam ini adalah untuk memberi peluang kepada semua peserta merasai dan melalui pengalaman budaya serta gaya hidup komuniti setempat.
“Saya berharap keluarga angkat dan peserta dapat berkenalan, bertukar pandangan berkaitan budaya, gaya hidup dan makanan tempatan,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Program ini diketuai Awangko Hamdan Pengiran Arshad dan Dr. Hakimi Halim.
“Semoga program ini menjadi satu medan kepada peserta untuk mencari pengalaman dan pengetahuan.
“Saya berharap agar para peserta dapat memperluaskan perspektif mereka melalui pertukaran pandangan mengenai budaya, gaya hidup, serta makanan tradisional tempatan.
“Selain itu, melalui program ini, para peserta juga mampu menerokai kemahiran masyarakat kampung,” katanya.
Oleh Earl Anek