SIMANGGANG: Pasukan Aqib X Kampung Boy FC dinobat sebagai juara dalam aksi perlawanan akhir pertandingan Bola Sepak Karnival Belia Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga di Kompleks Sukan Sri Aman, petang ini.
Dalam aksi perlawanan akhir itu, skuad Aqib X Kampung Boy FC pimpinan Alfian Abu Bakar berjaya menewaskan DLS FC dengan jaringan 1-0.
Penyerang Aqib X Kampung Boy FC, Ikmal Hakim muncul wira apabila melakukan jaringan pada minit ke-11, sekali gus mengesahkan kejuaraan sulung bagi pasukan mereka pada edisi pertama kanival tersebut dianjurkan.
Kejayaan itu membolehkan Aqib X Kampung Boy FC membawa pulang wang tunai RM2,500, piala beserta pingat.
DLS FC yang muncul sebagai naib juara menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,500 termasuk piala dan pingat.
Pasukan Battosai X Fuhai dan Datus United muncul sebagai pasukan berada ditempat ketiga bersama dan kedua-dua pasukan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500.
Kesemua hadiah pemenang telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.
Dalam pada itu, sebanyak lapan pasukan telah menyertai pertandingan Bola Sepak Karnival Belia DUN Lingga yang telah bermula Jumaat lalu.
Antaranya ialah Pemuda PBB; Datus United; Battosai X Fuhai; Sahara United; SNF FC; Aqib X Kampung Boy; DLS FC dan LA United.
Oleh ADI SAFARMAN