KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin memberikan laluan sukar buat wakil tuan rumah yang juga pilihan utama kejohanan sebelum akur bergelar naib juara Masters China 2024 hari ini.
Pasangan negara yang digandingkan tahun lepas itu memberikan saingan sengit kepada Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping hingga perlawanan dibawa ke set penentuan sebelum akur 23-21, 23-25, 16-21 dalam pertarungan selama 93 minit di Gimnasium Shenzhen.
Pang Ron menerusi rakaman audio dikongsi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berkata turun sebagai bukan pilihan memberi kelebihan tanpa tekanan tinggi, membolehkan mereka memberikan tumpuan kepada pelan permainan yang telah disusun bersama barisan kejurulatihan.
“Sudah tentu kami kecewa tapi kami sudah lakukan yang terbaik hari ini. Kami tiada tekanan, kami bertarung sedaya upaya kami.
“Kami ada corak permainan tapi dalam waktu genting, mereka lebih berpengalaman. Corak permainan mereka cepat berubah. Tapi tetap gembira sebab kami boleh bermula dengan lebih yakin untuk tahun depan,” katanya.
Muncul naib juara Masters China yang juga kejohanan bertaraf Super 750, ialah pencapaian terbaik Pang Ron-Su Yin yang pernah menjuarai Cabaran Antarabangsa Malaysia 2023.
— BERNAMA