SIBU: Persempadanan semula kawasan Bawang Assan akan diusulkan pada Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dijadualkan pada 14 Februari 2025.
Ketua PBB Bawang Assan, Romeo Christopher Tegong, yang baru dipilih semula untuk tempoh 2025-2027, menjelaskan bahawa langkah ini bertujuan mempercepatkan pembangunan di kawasan tersebut yang dianggap ketinggalan berbanding kawasan lain.
“Usul ini bertujuan mewujudkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu melibatkan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rassau, Bawang Assan, dan Penasu dengan anggaran 12,000 pengundi,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat cawangan itu di sini hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa usul persempadanan ini perlu dibentangkan dalam Persidangan DUN pada Mei 2025 sebelum diserahkan ke Parlimen untuk kelulusan.
DUN Bawang Assan kini diwakili oleh Dato Sri Wong Soon Koh, yang memenangi kerusi tersebut sebagai calon pembangkang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 lalu di bawah Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Wong bagaimanapun membubarkan PSB pada Mac tahun ini dan menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), salah satu parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Menurut Romeo, dengan tempoh DUN Sarawak ke-19 yang berakhir pada 14 Februari 2027, beliau yakin kawasan DUN baharu ini dapat diwujudkan sebelum Pilihan Raya Negeri ke-13.
Selain usul persempadanan semula, katanya, tiga lagi usul akan dibawa ke Perhimpunan Agung Ke-16 PBB, iaitu elaun ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK), kuota ahli majlis kerajaan tempatan, serta isu pembangunan setempat.
Oleh TARANI LANTING