BINTULU: Warga Bintulu bakal menikmati rangkaian jalan raya yang lebih luas dengan cadangan membina laluan berkembar dari Jambatan Bintulu-Jepak sehingga ke Lapangan Terbang Bintulu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau telah meluluskan projek tersebut dalam mesyuarat Kabinet negeri baru-baru ini.
Katanya, ini sekali gus akan meningkatkan pembangunan di kawasan Jepak yang dilakukan secara terancang.
“Kita akan sambungkan (rangkaian jalan) dari Jambatan Bintulu-Jepak ke Lapangan Terbang Bintulu. Ia ‘dual carriageway’, bermakna empat lorong.
“Jadi, Jepak bukan lagi sekadar kawasan perkampungan. Terdapat juga inisiatif pembangunan perumahan yang melibatkan beberapa fasa.
“Ini bermakna kita melaksanakan pembangunan yang tersusun di Jepak,” katanya ketika berucap pasa majlis Tautan Kasih Gedong Permulaan Kami (GPK) Bintulu 2024 di sebuah hotel di sini malam tadi.
Abang Johari berkata Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang melaksanakan pembinaan jambatan-jambatan mega secara serentak.
Katanya, ia hasil daripada ekonomi yang meningkat sehingga Sarawak mampu menyangkal sikap skeptikal orang lain terhadap usaha pembangunan itu.
“Tidak ada negeri lain yang dapat membina 16 jambatan secara serentak. Projek jambatan ini termasuk di Batang Lupar, Batang Saribas, Batang Krian, Igan, Paloh dan Muara Lassa.
“Semua ini kita laksanakan secara serentak. Terdapat pihak yang persoal dari mana peruntukan didapati setelah dibatalkan oleh pihak persekutuan.
“Ini merupakan hasil ekonomi kita yang meningkat dan berkat Allah di mana kita menerima sumber (pendapatan) yang begitu banyak,” katanya. – EDISI UKAS