KUCHING: Kedudukan kewangan kukuh Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) membolehkannya menyalur dana RM1.7 juta kepada 82 cawangan di seluruh negeri.
Presiden Saberkas, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata dana tersebut adalah hasil sewa aset serta dividen daripada pelaburan yang diuruskan sendiri oleh pertubuhan itu.
“Setiap cawangan menerima RM21,000 untuk menjalankan pelbagai aktiviti. Ini membuktikan bahawa Saberkas mampu berdikari melalui pengurusan kewangan yang telus dan strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Saberkas ke-58 di sini, hari ini.
Selain itu, Saberkas turut menerima suntikan dana tambahan sebanyak RM650,000 dari kerajaan Sarawak.
Menurut Abdul Karim, jumlah cawangan Saberkas kini meningkat kepada 82, berbanding lebih 40 cawangan sebelum ini, selaras dengan usaha memperluas program pembangunan belia di peringkat akar umbi.
“Saberkas telah berjaya menganjurkan 272 program sepanjang tahun ini. Daripada jumlah itu, 208 adalah anjuran sendiri manakala 64 lagi kerjasama bersama rakan strategik seperti Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), serta pelbagai NGO dan agensi lain,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa Saberkas kini mempunyai keahlian seramai 55,694 orang di seluruh Sarawak, mencerminkan kepercayaan belia terhadap organisasi itu.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Naib Presiden Saberkas, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Setiausaha Agungnya, Safiee Ahmad, dan Ahli Majlis Tertinggi Saberkas.
Oleh SHAHRUL QAIZAT