Keupayaan Hospital Sibu untuk menjalankan ujian RT-PCR Covid-19 secara ‘real time’ tanpa perlu menghantar sampel ke makmal lain yang mempunyai keupayaan sama, adalah suatu yang harus dibanggakan.
Ini kerana, tindakan mengenal pasti dan pengesanan awal kes jangkitan dengan kadar segera merupakan antara langkah terpenting dalam membendung wabak pandemik Covid-19.
Langkah ini perlu dilakukan dengan secepat mungkin bagi mengesan pesakit yang dijangkiti agar dapat diasingkan dari orang sihat dan diberikan rawatan.
Selain itu, langkah tersebut juga mampu mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain dan sekali gus dapat memutuskan rantaian wabak khususnya di kawasan zon merah.
Bagi pengesanan awal kes Covid-19, ujian saringan perlu dilakukan dalam usaha untuk meratakan lengkuk pandemik virus tersebut.
Oleh itu, kaedah utama bagi menentukan sama ada seseorang itu dijangkiti adalah dengan mengenal pasti virus melalui gennya, menerusi satu prosedur yang dikenali sebagai “tindak balas rantai polimerase-transkripsi balik” (RT-PCR).
Hospital Sibu dapat menjalankan ujian berkenaan selepas menerima sumbangan mesin PCR pada 27 Mac lalu dan merupakan salah satu hospital di negeri ini yang berupaya menjalankan ujian pengesanan awal jangkitan Covid-19.
Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Sains dan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee berkata, mesin tersebut adalah hasil dari sumbangan individu yang tidak mahu dikenali.
Menurutnya, mesin tersebut ditempatkan di Makmal Penyelidikan Klinikal dan dikendalikan oleh Pusat Penyelidikan Klinikal (CRC) dan Pegawai Jabatan Patologi.
“Sumbangan menjadikan pusat tersebut dilengkapi mesin PCR dan sekali gus meningkatkan lagi kemampuannya untuk menjalankan ujian pengesanan jangkitan Covid-19.
“Dengan adanya mesin itu, ujian dapat dilakukan bagi daerah Sibu dan kawasan sekitarnya tanpa perlu menghantar sampel ke Kuching,” katanya.
Dalam tempoh dua minggu selepas menerima sumbangan mesin berkenaan, Hospital Sibu telah berjaya menjalankan lebih 600 ujian Covid-19 di hospital berkenaan.
Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, melalui mesin PCR ini, sampel yang diperoleh dapat diproses dalam beberapa jam dan mempercepatkan proses untuk rawatan kepada pesakit Covid-19.
“Ini akan mengurangkan kelewatan yang dialami di Sibu di mana sampel harus dihantar Kuching terlebih dahulu untuk diuji sebelum keputusannya dihantar kembali.
“Dengan mesin ini, tempoh untuk memperoleh keputusan dapat dikurangkan dan ini memudahkan kerja petugas barisan hadapan untuk mengesan sumber jangkitan dan memulakan proses pengekangan terhadap ahli keluarga pesakit yang lain,” ujarnya.
Sementara itu, Hospital Sibu merupakan hospital ketiga di negeri ini yang memiliki mesin PCR selepas Hospital Umum Sarawak (HUS) dan UNIMAS di Kucing.
Ini diikuti oleh Hospital Miri dan Hospital Bintulu yang turut memiliki mesin PCR untuk melakukan ujian saringan Covid-19.
Oleh Nurzilla Mohamad