KUCHING: Sebanyak 272 program berjaya dianjurkan oleh Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) sepanjang 2024, menjadikan pertubuhan itu platform aktif dalam pembangunan belia di negeri ini.
Presidennya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata daripada jumlah tersebut, 208 program adalah hasil inisiatif Saberkas sendiri, manakala 64 lagi dilaksanakan melalui kerjasama dengan rakan strategik termasuk Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan.
“Saberkas menjalankan pelbagai aktiviti hampir setiap minggu, melibatkan kawasan bandar dan luar bandar di seluruh Sarawak.
“Ini membuktikan Saberkas terus relevan sebagai badan belia terbesar yang menyediakan platform selamat dan bermanfaat untuk golongan belia,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Saberkas Sarawak ke-58 di sini, hari ini.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian Saberkas yang proaktif dalam membantu golongan terkesan akibat bencana seperti kebakaran dan banjir menerusi unit khas, Saberkas Prihatin.
“Unit ini menyediakan bantuan segera kepada mangsa musibah. Kita bersyukur kerana Saberkas mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh hasil sewaan tapak, pelaburan, dan sokongan lain. Ini membolehkan bantuan disalurkan dengan pantas,” jelasnya.
Selain itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas sumbangan dana sebanyak RM650,000, yang digunakan untuk melancarkan pelbagai program Saberkas.
“Saya berharap Saberkas dapat terus mengatur aktiviti yang bermanfaat, terutama melibatkan sukan dan belia,” tambahnya.
Untuk makluman, Saberkas kini mempunyai 55,694 ahli di 82 cawangan yang mewakili setiap kawasan DUN di Sarawak, mencerminkan kemajuan pertubuhan itu dalam memperkasakan belia di negeri ini.
Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Naib Presiden Saberkas Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Setiausaha Agung Safiee Ahmad, serta ahli-ahli majlis tertinggi Saberkas.
Oleh SHAHRUL QAIZAT