LIVERPOOL, England: Arne Slot berkata beliau tidak boleh terganggu berikutan pertembungan Liverpool dengan Real Madrid dan Manchester City minggu depan ketika pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dilanda kecederaan itu berkunjung ke Southampton malam esok.
Slot memulakan era mengagumkan dalam karier pengurusannya di Anfield, menang 15 daripada 17 perlawanan pertama bagi semua pertandingan.
Ia menyaksikan Liverpool unggul mendahului lima mata di depan City di puncak carta EPL selain menghuni tangga teratas Liga Juara-Juara format baharu.
“Agak pelik jika saya beritahu anda saya tidak seronok dengan kedudukan kami sekarang, tetapi kami juga faham kami baru bermain 11 perlawanan liga sekarang, jadi banyak lagi perlawanan yang akan ditempuhi,” kata Slot pada sidang akhbar praperlawanan semalam.
Kunjungan ke pasukan tangga tercorot Southampton menjadi pilihan terbaik sebelum dua aksi besar apabila Madrid bertandang ke Anfield Rabu ini sebelum pertembungan mega dengan City pada 1 Disember.
Namun Slot bimbang dengan ancaman yang boleh diberikan The Saints, yang sering mendominasi penguasaan bola tanpa mendapat keputusan baik dalam kepulangan semula mereka ke liga utama.
“Kami sememangnya berdepan perlawanan luar biasa selepas ini, bermula dengan Southampton,” kata Slot.
“Ia tidak mudah jika sekiranya setiap orang berasakannya (kerana kedudukan mereka) di tangga tercorot liga. Mereka tidak bermain sama sekali seperti ini dan mereka menyukarkan pasukan yang berada dalam kelompok tiga teratas.
“Corak permainan mereka amat menarik, ia seronok untuk menonton perlawanan mereka.”
Trent Alexander-Arnold mungkin sempat kembali untuk berdepan Madrid, tetapi tidak mungkin beraksi kerana kecederaan hamstring hujung minggu ini, manakala Alisson Becker dan Diogo Jota masih diketepikan. – AFP