BINTANGOR: Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dengan kes rabies yang boleh membawa maut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing berkata, kes jangkitan rabies melibatkan seorang wanita berusia 26 tahun dari Belaga, Kapit harus diambil iktibar.
“Wanita ini disahkan terkena jangkitan rabies dan mengakibatkan kematian. Berdasarkan siasatan, mangsa tidak mempunyai sejarah gigitan haiwan tetapi memelihara tiga ekor kucing yang dibiarkan berkeliaran.
“Salah seekor daripada kucing berkenaan dikatakan tidak divaksin dan terdedah dengan haiwan liar.
“Majoriti kes yang dilaporkan adalah melibatkan haiwan peliharaan. Dengan ini, bersama-samalah kita menyampaikan tentang bahaya rabies kepada seluruh masyarakat agar rantaian kes rabies dapat diputuskan di kawasan kita mahupun di seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap padamajlis perasmian Program Kesedaran Kesihatan 2024 di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Meradong, di sini hari ini.
Koung Hiing juga berkata program itu bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran dan berkaitan penyakit berjangkit bawaan vektor serta langkah-langkah pencegahan.
Katanya, melalui program ini juga, Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar memberi pendedahan berkaitan perlesenan anjing dan pemberian suntikan vaksin anti rabies secara percuma serta beberapa slot ceramah bersama beberapa agensi-agensi lain.
“Saya dimaklumkan bahawa di antara pengisian aktiviti adalah seperti aktiviti senamrobik yang sedang diadakan di Pentas Utama Pesta Meradong, aktiviti pemvaksinan anti rabies, pelesenan dan pemasangan mikrocip anjing yang sedang diadakan di pekarangan Dewan Masyarakat Bintangor, aktiviti ceramah, pameran kesihatan dan derma darah di dewan ini.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada agensi yang terlibat di dalam program ini iaitu Kementerian Kesihatan (KKM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan Bahagian Sarikei dan CCK Mart,” katanya.
Beliau berharap agar program seperti ini dapat dilaksanakan lagi pada tahun-tahun akan datang.
“Melalui program seperti ini, kita mampu mewujudkan suasana harmoni dengan menggalakkan kerjasama dan mengeratkan hubungan mesra di kalangan masyarakat berbilang kaum menerusi penglibatan bersama dalam aktiviti sosioekonomi, kebudayaan dan kesejahteraan,” katanya.
Oleh Earl Anek