TRISO: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) mengesahkan penemuan bangkai ikan paus berhampiran Jambatan Triso, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh SFC di laman media sosial Facebook hari ini menjelaskan, ia susulan usaha pencarian telah dimulakan selepas video tular menarik perhatian umum.
“Penilaian awal mendedahkan bahawa bangkai mamalia itu berada dalam keadaan penguraian dan berada di ambang perpecahan.
“Pada masa ini ia tersangkut pada jeriji dan hanya boleh diambil semasa air pasang,” katanya.
SFC berkata, bangkai paus yang ditemui itu dipercayai adalah dari jenis Paus Baleen (Baleen Whale) dewasa.
“Mamalia ini berukuran kira-kira 10 meter panjang, dengan ukur lilit sekitar 2.8 meter dan kira-kira 50 alur tekak.
“Pasukan Veterinar dan Forensik SFC dengan kerjasama Jabatan Muzium akan mengumpul kesemua rangka tulang mamalia tersebut pada esok untuk analisis lanjut,” katanya.
Terdahulu, Selasa lalu nelayan di sini gempar apabila menemui bangkai seekor ikan paus terapung di perairan Sungai Batang Lupar dekat Kampung Pulau Seduku ketika hendak turun menangkap ikan.
Dua hari selepas itu, bangkai ikan paus itu ditemui semula di kawasan Feri Sungai Triso, dekat Jambatan Batang Lupar.
Mamalia itu pertama kali dijumpa di perairan Batang Lupar, dipercayai tersesat sebelum dibawa arus semasa air pasang besar sebelum memasuki perairan Sungai Batang Lupar.
Oleh ADI SAFARMAN