KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) digesa melakukan anjakan paradigma dalam perniagaan untuk penerimagunaan teknologi baharu bagi semua aspek perniagaan sekali gus berupaya menangani kesan ekonomi yang tidak diingini.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini termasuk bagi operasi kewangan, kebolehpasaran, peningkatan kapasiti dan sumber manusia dalam perniagaan masing-masing.
“Langkah ini akan menggabungkan penggunaan analisis data raya, alat pentadbiran digital dan pengurusan perniagaan serta teknologi terhubung,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata demikian menerusi ucapan yang dirakam lebih awal untuk penstriman bagi majlis apresiasi Program Pembangunan Technopreneur (TDP) dan pelancaran TDP Xpress.
TDP dan TDP Xpress merupakan program utama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) untuk melonjakkan keupayaan PKS ke arah mengekalkan daya saing mereka dalam ekonomi digital.
Mohamed Azmin berkata, pandemik Covid-19 telah mempercepat tahap penembusan teknologi digital dalam pasaran malah keberkesanan teknologi digital dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat walaupun mobiliti rakyat terhad dalam beberapa bulan sebelum ini.
Beliau berkata, ini mendorong entiti perniagaan untuk mengenal pasti penyelesaian digital yang pantas dan berkesan justeru, perniagaan dapat memenuhi permintaan pengguna selain memastikan kegiatan komersial tidak terhenti.
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan juga mendorong pelbagai entiti perniagaan beralih kepada platform dalam talian atau operasi berasaskan awan sekali gus memupuk budaya bekerja dari rumah dan inilah yang dipanggil sebagai norma baharu, katanya.
“Maka, tidak keterlaluan untuk mengatakan ia adalah langkah ke hadapan ke arah era digitalisasi yang lebih hebat untuk menyahut cabaran akan datang.
“Jika dilihat secara menyeluruh, walaupun digitalisasi adalah satu kemestian, kita mesti mejangkaui lebih daripada itu,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari berkata, TDP mengambil masa sehingga lapan bulan untuk setiap syarikat melengkapkannya manakala TDP Xpress merupakan program selama sebulan yang memastikan penyelesaian spesifik akan dilaksanakan bagi produk atau proses khusus PKS.
“Lebih 10 sesi penglibatan dengan peserta akan dijalankan semasa tempoh sebulan itu, termasuk sekurang-kurangnya enam pertemuan fizikal secara langsung dan lima penglibatan secara maya,” katanya.
Beliau melahirkan keyakinan bahawa menerusi platform pintar MARii, Platform Teknologi Industry4WRD MARii (MITP), yang meliputi lebih 50 penyelesaian, TDP Xpress akan dapat memberikan penyelesaian paling sesuai kepada peserta di semua sektor.
Program itu terbuka kepada semua sektor termasuk kraftangan, pelancongan, makanan dan minuman serta elektrik dan elektronik, katanya. – Bernama