MANCHESTER, England: Ruben Amorim mengemudi Manchester United buat kali pertama bagi kunjungan ke Ipswich Ahad ini, manakala Manchester City menyasar untuk menamatkan rentetan kekalahan terburuk Pep Guardiola menentang Tottenham.
Tangga keempat bertemu tangga kelima dalam satu lagi pertemuan mencuri tumpuan malam esok apabila Arsenal berharap untuk memulihkan semula cabaran memburu kejuaraan di laman sendiri menentang Nottingham Forest.
Peminat Manchester United terpaksa menunggu tiga minggu sebelum ketibaan Amorim sejak beliau disahkan sebagai pengganti Erik ten Hag.
Pengendali dari Portugal itu tidak berdepan laluan sukar, tetapi Ipswich berada di awang-awangan menjelang kunjungan ke Old Trafford selepas meraih kemenangan pertama mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi tempoh 22 tahun sebelum rehat tugasan antarabangsa dengan kemenangan mengejut 2-1 di Tottenham.
Amorim bagaimanapun berdepan banyak masalah untuk diatasi di Old Trafford, namun memulakannya dengan United hanya empat mata di belakang kelompok empat teratas sekalipun menghuni tangga ke-13.
Ten Hag hanya menang satu daripada tujuh perlawanan di gelanggang lawan dalam semua pertandingan musim ini dan Amorim perlu mencari tonik segera untuk memperbaiki catatan itu jika beliau mahu bermula positif dengan peminat United.
Pemain tengah United, Bruno Fernandes yakin warga senegaranya mampu menyesuaikan diri secara positif dengan pemain baharunya.
“Jelas sekali bagi saya, apa yang mengagumkan adalah hubungannya dengan pemain (Sporting),” kata Fernandes.
“Anda lihat cara bagaimana mereka mengucapkan selamat jalan kepadanya, bagaimana mereka rasa, mereka membuatnya terasa sebahagian daripada pasukan itu dan bagaimana mereka melayannya.
“Jadi ia menunjukkan ini satu karakter hebat dan beliau seseorang yang akan memberikan segala-galanya kepada pemainnya.”
Di seberang Manchester, pasukan juara City kalah empat perlawanan berturut-turut buat kali pertama di bawah karier gemilang pengurus Guardiola.
Bagaimanapun, awal pagi tadi Guardiola menandatangani sambungan kontrak dua tahun, menamatkan spekulasi mengenai masa depannya dan membolehkan bos itu menumpukan perhatian untuk memulihkan pasukannya.
Dua minggu rehat bagi tugasan antarabangsa juga hadir pada masa yang tepat buat Guardiola ketika beliau boleh mengharapkan pemain yang cedera dalam tempoh panjang kembali beraksi.
Anak buah Guardiola mendapati mereka ketinggalan lima mata di belakang pendahulu Liverpool, yang berdepan pasukan tangga tercorot Southampton Ahad ini dan tidak boleh mencicirkan sebarang mata lagi menjelang kunjungan getir ke Anfield hujung minggu depan.
Ini adalah kali keenam kelab mendahului lima mata di depan selepas 11 perlawanan EPL, dengan lima yang terakhir semuanya muncul sebagai juara.
Namun City pernah ketinggalan di belakang pendahulu lebih lima mata pada satu peringkat dalam empat musim terakhir tetapi masih menamatkan musim sebagai juara.
The Gunners ketinggalan sembilan mata di belakang Liverpool selepas hanya menang tiga kali dalam sembilan aksi terakhir liga, termasuk empat tanpa sebarang kemenangan menjelang kunjungan Forest.
Harapan setinggi gunung diletakkan di bahu anak buah Mikel Arteta untuk menamatkan penantian dua dekad menjuarai liga selepas muncul naib juara di belakang City dalam dua musim terakhir.
Namun musim Arsenal dipenuhi dengan cerita kad merah yang tidak diperlukan, kecederaan tonggak utama dan kekurangan deria pemusnah di depan pintu gol lawan.
Arteta perlu mencari jawapan segera jika mereka masih mahu berada dalam perebutan kejuaraan. – AFP
JADUAL EPL MINGGU INI
Malam esok
Leicester mln Chelsea (8.30 malam)
Arsenal mln Nottingham Forest (11 malam)
Aston Villa mln Crystal Palace (11 malam)
Bournemouth mln Brighton (11 malam)
Everton mln Brentford (11 malam)
Fulham mln Wolves (11 malam)
Awal pagi Ahad
Manchester City mln Tottenham (1.30 pagi)
Malam Ahad
Southampton mln Liverpool (10 malam)
Ipswich mln Manchester United (12.30 tengah malam)
Awal pagi Selasa
Newcastle mln West Ham (4 pagi)