SIBU: Sarawak berharap usul melibatkan semua bahagian di negeri ini dalam menganjurkan Sukan SEA 2027 akan diluluskan oleh Putrajaya.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pendekatan itu telah diguna pakai ketika SUKMA 2024 yang melibatkan sembilan bahagian di seluruh negeri ini.
“Saya tidak boleh menyatakan secara awal sama ada ia akan diadakan di Sibu, Miri, atau bahagian lain di Sarawak, walaupun terdapat permintaan supaya Sukan SEA diadakan di bahagian-bahagian lain di Sarawak.
“Keputusan muktamad adalah terletak pada jawatankuasa induk di Kuala Lumpur. Kita perlu tunggu dan lihat, tetapi saya berharap permintaan kita akan dipertimbangkan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Malam Apresiasi Sukan Malaysia (SUKMA) Edisi ke-XXI Sarawak 2024 peringkat Zon Tengah di salah sebuah hotel terkemuka, di sini malam tadi.
Pada upacara penutup SUKMA 2024 Ogos lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan kerajaan untuk menjadikan Sarawak sebagai penganjur bersama Sukan SEA 2027.
Beliau berkata, ia susulan penganjuran luar biasa Sarawak bagi acara temasya sukan dwitahunan kebangsaan itu yang disifatkannya sebagai antara yang terbaik dalam sejarah.
Terdahulu dalam ucapan aluannya,
Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXI Sarawak 2024, Datu Hii Chang Kee berkata, cabaran dalam penganjuran kali ini adalah aspek persiapan yang singkat dan hanya mengambil masa selama satu setengah tahun sahaja.
“Bagaimanapun, kita telah berjaya melaksanakan pelbagai aktiviti yang telah dirancang seperti majlis pelancaran SUKMA, kunjungan hormat ke negeri-negeri seluruh Malaysia dan Negara Brunei.
“Selain itu, larian baton di semua 12 bajagian di Sarawak, majlis apresiasi penaja, taklimat ketua kontinjen, mesyuarat pendaftaran delegasi dalam usaha mempromosikan temasya SUKMA XXI kali ini,” katanya.
Beliau berkata di samping berjaya untuk memastikan semua kerja membina baru dan manaik taraf arena sukan disiapkan sebelum temasya SUKMA, pihaknya juga telah berjaya memperkenalkan App SUKMA yang julung kalinya digunakan dalam sejarah temasya SUKMA.
“Kita juga telah berjaya dalam menyediakan siaran langsung untuk lebih 20 acara sukan melalui TVS dan RTM. Semua ini tidak akan terjadi tanpa usaha sama dan kerja berpasukan oleh semua pihak,” katanya.
Beliau berkata majlis apresiasi serupa akan diadakah di peringkat Zon Utara di Miri pada 26 Nov 2024.
Oleh AKUN GIMAN