PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan bernilai RM1 bilion untuk Program Pembangunan Infrastruktur Padi bagi mengelakkan penurunan kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras di negeri ini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, program ini melibatkan pembangunan infrastruktur sehingga peringkat tertiari di kawasan baharu dan sedia ada.
Katanya, ia membolehkan penggunaan sepenuhnya mekanisasi ladang serta pelaksanaan lima musim penanaman dalam tempoh dua tahun.
“Sebanyak 14,000 hektar telah dikenal pasti di bahagian Kuching, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri, dan Limbang untuk pembangunan infrastruktur ini.
“Projek ini akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 2025 dengan 18 projek dimulakan serentak manakala baki 22 projek akan bermula pada 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM46 juta di bawah Project Rakyat bagi menaik taraf infrastruktur saliran dan pengairan di Skim Mid-Sadong 1 di Lubok Punggor, Samarahan.
“Projek ini akan dilaksanakan dalam tempoh 10 bulan dan dijangka dilancarkan pada 29 November 2024 oleh Premier Sarawak.
“Selain itu, sebuah lagi projek di Selepong, Sri Aman juga telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM40 juta. Pelantikan perunding bagi projek ini sedang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, setakat Oktober 2024, Rundi mendedahkan bahawa seramai 1,900 petani padi di seluruh Sarawak telah mendaftar di bawah Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank).
Katanya, skim ini bertujuan melindungi petani daripada kerugian yang tidak dijangka akibat bencana alam.
“Saya menggalakkan semua petani padi di Sarawak mengambil peluang ini dengan mendaftar akaun di Agrobank,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal