HASIL hutan daripada aspek kayu-kayan merupakan salah satu komoditi eksport di Sarawak sejak sebelum kedatangan Brooke lagi.
Ini kerana orang Melayu dan Dayak memperdagangkan pelbagai jenis kayu-kayan seperti kayu laka, kayu gaharu dan rotan dengan penduduk luar Sarawak.
Perkembangan ini berterusan dengan ada aktiviti pembalakan yang semakin aktif pada era pentadbiran British.
Ini kerana pemintaan kayu balak untuk pembangunan di benua Eropah, China dan Jepun membawa kepada peningkatan usaha untuk mendapatkan kayu balak.
Namun demikian pembalakan ini melibatkan juga pengambilan kayu untuk kegunaan kayu api dan arang. Kebiasannya kedua-dua hasil pembalakan ini lebih kepada penggunaan tempatan.
PENGELUARAN
Kayu balak, kayu api dan arang disenaraikan sebagai hasil utama pembalakan dalam eksport Sarawak. Pada 1930, kayu balak menyumbang 24,826 tan untuk Sarawak.
Pengeluaran kayu api juga amat tinggi iaitu 21,433 tan pada tahun sama. Arang pula hanya 3,321 tan.
Pada 1932, pengeluaran tiga jenis kayu kayan ini menampakkan penurunan.
Pada tahun tersebut, kayu balak yang dikeluarkan sebanyak 14,842 tan, manakala kayu api pula hanya 8,267 tan. Jumlah arang yang dikeluarkan hanya pada 2,779 tan.
Pada 1935 terdapat sedikit peningkatan dalam pengeluaran kayu balak di Sarawak.
Sejumlah 16,501 tan kayu balak telah dikeluarkan pada tahun tersebut, manakala kayu api pula meningkat tinggi kepada 66,375 tan pada tahun sama.
Arang menokok agak sederhana iaitu 3,500 tan.
Peningkatan ini berlaku kerana kepesatan kegiatan pembalakan di Bahagian Keempat.
Sebaliknya berlaku penurunan aktiviti pembalakan di Bahagian Ketiga.
Pada tahun sama hasil hutan yang lain berasaskan kayu dihasilkan adalah pelbagai.
Antara hasil hutan ini adalah buluh, kulit tengar, kulit perkakal, gaharu mengkaras, gaharu buaya, kayu laka, nibong, samak dan temelok kerats.
BAHAGIAN
Pada 1935 bahagian paling besar menyumbang dalam pengeluaran kayu balak ini adalah Bahagian Keempat dan Pertama.
Kedua-dua bahagian ini mengeluarkan lebih 6,000 tan kayu balak, manakala Bahagian Ketiga pula penyumbang terbesar dalam pengeluaran kayu api.
Sebanyak 15,820 tan kayu api dikeluarkan oleh Bahagian Ketiga.
Kedua terbanyak pengeluaran kayu api adalah Bahagian Pertama dengan angka 4,312 tan.
Bahagian-bahagian lain mengeluarkan kayu api di bawah 800 tan.
Pengeluaran arang utama pula datang dari Bahagian Pertama. Bahagian ini mengeluarkan sebanyak 2,742 tan arang.
Bahagian-bahagian lain hanya mengeluar arang dibawah 400 tan.
Hanya Bahagian Kelima sahaja yang tidak menghasilkan arang.
SYARIKAT
Ada juga syarikat pembalakan mengambil kulit kayu bakau untuk dieksport ke luar negara.
Satu-satunya syarikat yang terlibat dalam kegiatan ini ialah the Island Trading Company.
Syarikat ini menjalankan aktiviti mengeluarkan catechu daripada kulit pokok bakau.
Syarikat ini telah beroperasi di Sarawak sejak 1910. Syarikat ini mengalami cabaran besar semasa
Perang Dunia Pertama tetapi berjaya kembali beroperasi selepas itu.
Syarikat ini memonopoli kawasan paya bakau di Sarawak.
Pada 1930 syarikat ini berjaya mendapatkan sebanyak 81,658 pikul kulit pokok bakau.
Jumlah ini berkurangan kepada 35,074 pikul tahun berikutnya.
Syarikat ini juga mempunyai kilang untuk menghasilkan catechu yang diekstrak dari kulit pokok bakau untuk dieksport.
Kilang penghasilan catechu ini berpusat di Selalang.
Namun demikian kapasiti operasi kilang ini hanya mampu memproses jumlah kecil.
Contohnya pada 1931 hanya sebanyak 1,349 pikul sahaja digunakan oleh syarikat ini.
Selebihnya dihantar ke Brunei untuk diproses.
KILANG KAYU
Di samping usaha mendapat hasil kayu kayan dari hutanSarawak, beberapa kilang pemprosesan kayu juga tumbuh di negeri ini.
Hal ini boleh dilihat dengan wujudnya kilang-kilang kayu di beberapa tempat di Sarawak.
Antara pemain utama dalam industri pemprosesan ini adalah the Borneo Company.
Syarikat ini telah mengambil alih kilang kayu di Kanowit dari J. Reid & Co.
Kayu-kayu yang diproses dari kilang kayu ini akan dieksport ke luar negara.
Selain the Borneo Company beberapa lagi syarikat mendirikan kilang kayu mereka sendiri.
The Sarawak Timber and Trading Company misalnya mempunyai kilang kayu di Bintulu.
Sementara itu, pada 1935 Kuching Steam Sawmill merupakan kilang kayu teratas dalam pengeluar papan di Sarawak.
Sebuah kilang di Bakong iaitu Vamco Sawmill menduduki tempat keempat.
Kilang kayu ini menghadapi masalah akibat kejatuhan pengeluaran mereka.
PENGEKSPORTAN
Terdapat kemajuan dalam pengeksportan kayu balak ke luar Sarawak.
Antara 1934-1935 peningkatan tersebut amat ketara.
Destinasi eksport banyak dihantar ke beberapa pelabuhan di Borneo iaitu sebanyak 1,638 tan isi padu pada 1935 iaitu peningkatan sebanyak 553 tan isi padu dari tahun sebelum itu.
Selain pelabuhan-pelabuhan di Borneo, eksport juga ke beberapa destinasi utama dunia.
Eksport ke Singapura menunjukkan peningkatan ketara.
Pada 1934, hanya 467 tan isi padu kayu balak sahaja dieksport ke Singapura.
Jumlah ini meningkat naik dengan pertambahan sebanyak 1,585 tan isi padu kayu balak pada 1935.
Sarawak juga mengeksport hasil kayu balak mereka ke beberapa negara lain.
Pada 1934, China dan United Kingdom menjadi kawasan pasaran hasil kayu Sarawak.
Terdapat peningkatan jelas pengeksportan kayu Sarawak ke dua negara ini dari 1934 dan 1935.
Pada 1935 pula sebanyak 74 tan isi padu kayu Sarawak dieskport ke Afrika Selatan.
Ini bermaksud Afrika Selatan merupakan negara baharu yang mengimport kayu balak dari Sarawak. Jumlah nilai eksport ke negara-negara ini pada 1935 berjumlah $118,254.00.
PERATURAN
Pada 1932 Jabatan Hutan mempunyai kuasa untuk memeriksa kayu balak yang akan dieksport.
Kuasa ini datang daripada satu peraturan yang dikenali sebagai Order No. F-1B (Forest Amendment) 1932 yang berkuat kuasa pada 16 Disember 1932.
Kepentingan peraturan ini adalah untuk mengelak kayu balak tersebut bebas daripada serangga dan kulat (fungus) untuk dieksport.
Perkembangan pembalakan di Sarawak pada zaman Brooke ini mengalami peningkatan yang ketara.
Ini kerana pemintaan tinggi kepada kayu balak untuk pembinaan bangunan menyebabkan perkembangan pembalakan dan industri hiliran.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).