SPAOH: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban akan mencadangkan supaya Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengekalkan jawatan presiden parti tanpa bertanding.
Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas merangkap Pengerusi parti cawangan Bukit Saban berkata, ini bagi membolehkan Premier Sarawak terus menerajui PBB bagi sesi 2024-2027.
“Usul ini akan dibawa ke konvensyen parti awal tahun depan,” katanya pada mesyuarat perwakilan pergerakan Wanita dan Pemuda Cawangan Bukit Saban dekat sini hari ini.
Uggah yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata, Abang Johari telah menunjukkan dirinya sebagai seorang pemimpin yang cemerlang dan berwawasan.
“Beliau juga dihormati di peringkat dunia kerana sokongan kuatnya terhadap tenaga hijau dan ekonomi hijau. Di peringkat negeri, beliau telah menunjukkan kepandaian dan kepintaran dalam meningkatkan hasil negeri tahun demi tahun.
“Minggu lepas ketika berucap pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Premier kita telah mengumumkan (unjuran) kutipan hasil sebanyak RM14.2 bilion untuk 2025. Pencapaian ini tidak pernah berlaku sebelum inj,” katanya.
Beliau berkata Abang Johari juga telah mengumumkan dana pembangunan sebanyak RM10 bilion dan daripada jumlah itu, 62 peratus telah diperuntukkan untuk pembangunan luar bandar.
“Jadi dengan beliau masih menerajui PBB dan Sarawak, kita akan berada dalam tangan yang sangat selamat. Kita telah diiktiraf sebagai wilayah berpendapatan tinggi dan saya yakin kami akan dapat mengekalkan status ini pada tahun-tahun akan datang,” tegasnya.
Pada majlis itu juga, Uggah memberi penghormatan khas kepada ketua-ketua cawangan yang telah rela melepaskan jawatan mereka untuk memberi laluan kepada orang lain.
Mereka termasuk bekas Ketua Wanita Nahairah Spawi yang telah memberi laluan kepada Natasha Nasa Uggah menggantikannya dan bekas Ketua Pemuda Martin Ngindang yang telah memberi laluan kepada Mohd Aizat Dollah yang bakal menggantikannya.
“Mereka terus mempertahankan tradisi PBB dalam membenarkan peralihan kuasa yang lancar,” tambahnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong Datuk Dr Richard Rapu yang juga Setiausaha Cawangan mengingatkan ahli supaya tidak membentuk kumpulan (berpuak) di dalamnya.
“Kita mesti mengelak perkara ini dalam apa cara sekalipun supaya parti kita sentiasa kukuh dan bersatu. Perpaduan kita amat penting dalam mengukuhkan PBB.
“Sebarang agenda kepentingan diri tidak mempunyai tempat dalam parti. Kita mesti kekal setia kerana kesetiaan dan perpaduan ini telah membolehkan kita mencapai banyak pembangunan dan kemajuan,” katanya.
Sementara itu, Uggah mengekalkan jawatan pengerusi cawangan itu tanpa bertanding pada mesyuarat badan induk cawangan berkenaan.
Cadangan untuk mengekalkan beliau yang dibuat oleh bekas Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat, disokong kuat oleh pemimpin dari semua 17 cabang kecil.
Para perwakilan juga memilih Abang Madahi Abang Abdul Latif sebagai timbalan Uggah. Beliau menewaskan penyandang Abang Sohardie Abang Zaini untuk jawatan itu.
Oleh ADI SAFARMAN