SIBU: Kerajaan Sarawak tetap komited memperkenal dan melaksanakan dasar kebajikan yang membawa manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing, berkata masyarakat berperanan penting sebagai penghubung untuk memastikan dasar-dasar ini sampai kepada semua golongan.
“Hasil daripada kerjasama erat antara sektor awam dan swasta, lebih ramai individu kini berpeluang menerima manfaat daripada dasar kebajikan yang dirancang,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Joshua Ting Fu Ying pada Hari Kebajikan Khidmat Mesra Upper Lanang di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong menjelaskan bahawa acara tersebut bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari maklumat tentang Kenyalang Gold Card (KGC) dan pelbagai dasar kebajikan kerajaan Sarawak, malah juga mempermudahkan golongan warga emas untuk mendapatkan sokongan melalui aktiviti kemasyarakatan.
“Bentuk kerjasama seperti ini memastikan dasar kebajikan tidak sekadar menjadi dokumen di atas kertas, tetapi diterjemahkan ke dalam tindakan yang membawa impak nyata kepada kehidupan rakyat,” tambahnya.
Tiong berkata usaha untuk mendekati masyarakat memerlukan pendekatan yang lebih proaktif.
Beliau menekankan bahawa perkhidmatan kepada rakyat tidak boleh hanya dilakukan dari bilik berhawa dingin, tetapi harus melibatkan interaksi langsung dengan rakyat.
“Melalui komunikasi harian, kita dapat memahami cabaran yang dihadapi oleh rakyat dan menyampaikan dasar-dasar kerajaan dalam cara yang mudah difahami.
“Pendekatan ini membantu rakyat mengenali sumber yang tersedia dan memanfaatkan saluran yang ada untuk menangani cabaran mereka,” katanya.
Beliau turut memuji peranan kapitan dan penghulu dalam menyediakan saluran komunikasi yang lancar antara rakyat dan pemimpin.
Langkah ini katanya, memastikan setiap isu dan keperluan rakyat mendapat perhatian sewajarnya.
“Saya yakin kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta akan terus memacu pembangunan masyarakat Sibu ke tahap yang lebih tinggi. Harapan saya agar rakyat dapat hidup dalam suasana harmoni dan menikmati kebahagiaan bersama,” katanya.
Oleh TARANI LANTING