SARATOK: Isu mengenai pemuliharaan alam sekitar yang mampan dan tadbir urus sumber asli amat penting kepada Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata sebab itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang berlangsung, satu Rang Undang-undang (RUU) telah diluluskan bagi memberi Sarawak autonomi yang lebih besar dari sudut kuasa kawalan penuh terhadap pengurusan sumber asli dan kawal selia pemuliharaan alam sekitar dan pencemaran.
“Kuasa ini adalah satu daripada 13 perkara pemerkasaan pentadbiran melalui reformasi perlembagaan sejak 2014 seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Dari sudut ekonomi, seperti mana kita sedia maklum, Sarawak sudah pun diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai wilayah berpendapatan tinggi pada 2023.
“Pengiktirafan ini semestinya memberi kebanggaan tinggi kepada semua kita kerana ini jelas membuktikan bahawa dasar pembangunan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dibawah pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah pada landasan yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan siri jelajah taklimat dan penerangan mengenai Pelan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030) di Dewan Masyarakat Sri Krian, semalam.
Mohamad Duri berkata, dengan itu Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita Sarawak sudah mencapai tahap yang amat tinggi iaitu AS$17,000 atau sudah mencecah lebih RM70,000 pada 2023.
“Namun, itu hanya manifestasi kejayaan ekonomi di peringkat negeri sahaja yang kita turut bangga sekali. Tetapi pencapaian kejayaan ini tidak mencukupi atau terhenti di situ sahaja.
“Maka kerajaan Sarawak komited untuk menterjemahkan GNI ini kepada usaha meningkatan pendapatan per kapita isi rumah menjelang 2030. Hanya dengan itu kesejahteraan rakyat Sarawak akhirnya dapat ditingkatkan secara menyeluruh sejajar dengan matlamat untuk menjadi Sarawak wilayah maju dan berpendapan tinggi dalam Malaysia menjelang 2030,” katanya.
Sementara itu, seramai 450 pemimpin akar umbi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka telah berkampung di Dewan Masyarakat Sri Krian bagi mengikuti siri jelajah taklimat dan penerangan berkenaan PCDS 2030 kerajaan Sarawak.
Majlis taklimat itu diadakan sempena Program Jangkauan Setiausaha Politik anjuran Pejabat Setiausaha Politik Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama Pejabat Daerah Saratok dan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.38 Kalaka.
Ia turut dihadiri Ketua Penyelaras Program Jangkauan Setiausaha Politik kepada Premier, Abdul Samat Gany dan Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid.
Barisan penceramah dari Pejabat Setiausaha Politik Jabatan Premier Sarawak adalah terdiri daripada Abdul Samat Gany, Dr Dayang Fifie Abang Abdul Karim, Abang Abdul Aziz Abang Abdul Draup, John Nyigor yang masing-masingnya turut memberi penerangan berhubung aspirasi terkandung dalam PCDS 2030.
Penceramah lain yang turut memberi penerangan termasuk wakil Perbadanan Perumahan Sarawak (HDC), Mutiara Mortgage & Finance, Kementerian Utiliti dan Komunikasi (MUT) Sarawak, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Oleh ADI SAFARMAN