SARIKEI: Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) merupakan satu pelan jangka panjang untuk membawa pembangunan yang lebih mampan dan inklusif, kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Katanya, ia adalah dengan harapan agar negeri Sarawak dapat mengorak langkah ke arah ekonomi hijau dan lestari.
“Salah satu objektif utama PCDS 2030 adalah bagi mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan penggunaan teknologi hijau serta amalan mampan dalam kehidupan kita.
“Justeru, Program Hari Rendah Karbon ini merupakan satu inisiatif atau kempen yang sangat bertepatan dan penting untuk menyedarkan kita semua tentang peranan individu dan komuniti dalam mencapai visi PCDS 2030 yang antaranya menjadikan persekitaran yang bersih dan sihat dalam segala aspek,” katanya.
Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Timbalan Residen Sarikei, Badjuri Bidin di Program Hari Rendah Karbon anjuran Majlis Daerah Sarikei (MDS) di pekarangan MDS, hari ini.
Tambahnya, perubahan iklim dan peningkatan pelepasan karbon adalah isu global yang memberi kesan besar kepada alam sekitar dan kehidupan.
“Menerusi PCDS 2030, kerajaan ingin mengurangkan pelepasan karbon melalui pendekatan mesra alam yang dapat memelihara alam sekitar kita untuk generasi akan datang.
“Dalam konteks ini, Program Hari Rendah Karbon menggalakkan setiap lapisan masyarakat termasuk pelajar untuk terlibat dalam amalan hijau seperti penjimatan tenaga, penggunaan bahan kitar semula dan gaya hidup lestari.
“Tindakan kecil seperti mengurangkan penggunaan plastik, berjalan kaki atau berbasikal ke sekolah serta mengamalkan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) sebahagian daripada langkah-langkah yang menyumbang kepada matlamat ini,” katanya.
Katanya, dalam masa yang sama di peringkat kerajaan telah mengambil berbagai usaha dan ekplorasi untuk mengguna sumber tenaga yang boleh diperbaharui sepert solar, hidrogen dan sebagainya demi untuk mencapai impian negeri dan negara.
“Saya percaya bahawa dengan adanya kesedaran dan komitmen yang kita bina melalui program ini, kita mampu menyokong aspirasi negeri dan negara dalam mencapai pembangunan mampan.
“Marilah kita semua bersama-sama berusaha untuk menjadikan rendah karbon sebagai budaya hidup kita.
“Dengan cara ini, kita bukan sahaja menyumbang kepada PCDS 2030, malah membantu memelihara alam sekitar untuk generasi masa depan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, lebih kurang 300 peserta telah menyertai “Fun Walk 3KM” sempena program tersebut.
Selain itu, antara pengisian aktiviti termasuklah senamrobik dan cabutan tiket bertuah.
Turut hadir, Pegawai Daerah Sarikei Louis Yeo Soon Guan, Pengerusi MDS Kaunselor Wong Zee Yeng dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Hari Rendah Karbon, Kaunselor Iskandar Naziri.
Oleh Earl Anek