PETRA JAYA: Setiausaha Kewangan Negeri (SFS) digesa untuk menyelesaikan segera isu berkaitan Skala Yuran Piawai (SOF) dan kelewatan pembayaran daripada agensi kerajaan yang membelenggu para jurutera dan arkitek di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang berkata meskipun isu itu sering diutarakan sebelum ini, ia masih belum mendapat perhatian pihak berwajib.
”Institut Jurutera Malaysia (IEM) Cawangan Sarawak yang turut hadir hari ini (semalam) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi memberi sokongan dan meminta saya mengutarakan kebimbangan mereka mengenai perkhidmatan profesional di Sarawak.
”Isu-isu yang dihadapi adalah seperti Skala Yuran Piawai (SOF) dan kelewatan bayaran daripada pelanggan atau pihak kerajaan.
”Sehubungan itu, mereka meminta saya mengutarakannya semasa sidang DUN, jadi agensi kerajaan yang berkaitan boleh memberi penjelasan dan kemudian, membuat susulan dengan perbincangan dengan semua pihak yang berkepentingan, semua perunding, sama ada jurutera, arkitek atau juruukur bahan (QS) bagi menambah baik sistem,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2025), 2024 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.
Tegasnya, kelewatan dalam menyelesaikan isu tersebut dikhuatiri menjejaskan profesion golongan itu sekali gus mengakibatkan minat mereka khususnya golongan muda semakin berkurang terhadap profesion itu.
Beliau yang tidak mendedahkan jumlah keseluruhan bayaran yang tertunggak itu turut menambah kelewatan pembayaran itu bukan sahaja dalam tempoh tahun ini malah ada yang dari tahun sebelumnya sehingga sekarang.
”Semua orang mempunyai jumlah bayaran tertunggak yang berbeza kerana perunding yang berbeza… Jadi, jumlah yang berbeza.
”Selain itu, isu kerja tambahan yang tidak dibayar meskipun mereka telah menjalankan tugas tambahan di luar skop kerja asal.
”Justeru, kami menggesa kerajaan Sarawak ’membuka pintu’ kepada kami agar dapat berbincang dengan pihak yang berkaitan untuk menyelesaikan isu ini,” ujarnya.
Oleh Rynna Sha’erra