PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Tanah dan Survei telah meluluskan pelan pembangunan komprehensif bagi Pekan Daerah Kecil Sungai Asap, Kapit iaitu ‘Pelan Tempatan Besar yang Dicadangkan untuk Sungai Asap’.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif berkata, pelan tersebut telah disahkan oleh Majlis Perancangan Negeri (SPA) pada 31 Oktober lalu.
“Pelan ini akan dijadikan rujukan dalam perancangan pembangunan masa depan bagi kawasan Daerah Kecil Sungai Asap dan akan dikemas kini secara berkala untuk menyesuaikan diri dengan sebarang kelulusan baharu berkaitan pertapakan, pecahan tanah (AVTC) dan kelulusan lain.
“Pelan pembangunan ini melibatkan dua kawasan utama yang dinamakan sebagai ‘Cadangan Pusat Tempatan Sungai Asap I’ dan ‘Cadangan Pusat Tempatan Sungai Asap II’.
“Kawasan Pusat Tempatan I merangkumi beberapa kampung, antaranya Uma Balui Ukap, Uma Bakah, Uma Daro, Uma Kelap, Uma Balui Liko, Uma Bawang, Uma Lahanan, Uma Belor, Uma Nyaving, dan Uma Kulit.
“Bagi Pusat Tempatan II pula melibatkan kawasan seperti Uma Lesong, Uma Juman, Uma Ukit, Uma Penan Talun, dan Uma Badeng,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Kennedy Chukpai Ugon (GPS-Murum) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Len Talif turut menjelaskan beberapa komponen utama dalam pelan pembangunan ini, meliputi rizab kerajaan, tapak untuk institusi pendidikan, kawasan komersial dan pembangunan bercampur.
Katanya, antara komponen lain ialah kawasan lapang atau rekreasi yang dilengkapi dengan laluan pejalan kaki, taman botani pengembaraan dan kebudayaan, serta rizab jalan.
Oleh Mohd Neenatul Aizal