Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Malaysia hantar nota bantahan kepada Filipina kaitan pelanggaran sempadan maritim
  • NASIONAL

Malaysia hantar nota bantahan kepada Filipina kaitan pelanggaran sempadan maritim

Utusan Sarawak 6 months ago

Mohamad Alamin berkata terdapat dokumen rujukan akta berkenaan turut menyentuh soal tuntutan negara itu terhadap Sabah. - Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia menghantar nota bantahan kepada Filipina berkaitan dua akta maritim baharu negara itu yang melanggar sempadan maritim Sabah hari ini, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.

Beliau berkata Akta Zon Maritim Filipina (Philippine Maritime Zones Act) dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina (Philippine Archipelagic Sea Lanes Act) yang ditandatangani Presiden Ferdinand Marcos Jr pada 8 Nov lepas disahkan telah melangkaui Peta Baharu Malaysia 1979 yang dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa.

Beliau berkata terdapat dokumen rujukan akta berkenaan turut menyentuh soal tuntutan negara itu terhadap Sabah.

“Kita telah pun memuktamadkan dan mempertimbangkan beberapa isu utama yang akan kita masukkan dalam nota bantahan kita.

“Nota bantahan ini, kita akan hantar hari ini juga demi menunjukkan komitmen kita bahawa hak kedaulatan Sabah dan negara kita akan terus kita pertahankan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut laporan media antarabangsa, kedua-dua akta maritim baharu Filipina itu dilihat sebagai usaha untuk memperkukuh tuntutan Manila ke atas kawalan Laut China Selatan yang masih dipertikaikan sehingga kini.

Mengenai Kepengerusian ASEAN 2025, Mohamad berkata peruntukan khas RM560 juta untuk Kementerian Luar bagi penganjuran pelbagai acara berkaitan ASEAN akan meliputi perbelanjaan kemudahan persidangan, penginapan tetamu negara dan delegasi, media dan publisiti, pengangkutan dan lain-lain perkhidmatan.

“Lokasi mesyuarat ASEAN yang diadakan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak akan membantu menjana pendapatan domestik bagi pelbagai sektor tempatan seperti perkhidmatan, perhotelan, pelancongan, jualan seni dan kraf selain mempromosi budaya Malaysia,” katanya.

Mohamad berkata Kementerian Belia dan Sukan dan agensi berkaitan juga terlibat dalam melaksanakan beberapa program bersesuaian untuk golongan muda supaya mereka dapat turut serta menjayakan Kepengerusian ASEAN tahun depan.

Beliau berkata Kementerian Luar beriltizam menjadikan ASEAN sebagai platform kukuh demi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan membawa manfaat jangka panjang kepada Malaysia dan semua negara anggota blok serantau itu.

— BERNAMA

Continue Reading

Previous: Elemen TVET diperkenal kepada murid tahun satu pada 2027
Next: Pesawat AS isi minyak pesawat TUDM ketika di udara

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.