PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak turut melaksanakan gaji minimum sebanyak RM1,700 kepada pekerja sektor swasta di negeri ini selaras pengumuman Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, pelaksanaan gaji minimum tersebut tidak terpakai kepada penjawat awam Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, pelaksanaan gaji minimum bagi penjawat awam Sarawak adalah tertakluk kepada surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Kerajaan Sarawak telah bersetuju menerima pakai secara prinsip pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) melalui Pekeliling Perjawatan Negeri Sarawak Bilangan 15 Tahun 2024 yang dikeluarkan pada 15 Oktober 2024.
“Untuk Gred 1, Gaji Permulaan Terendah (GPT) iaitu gaji pokok adalah RM1,500 sebulan dan turut menikmati elaun sebanyak RM685 sebulan.
“Ini menjadikan jumlah pendapatan kasar adalah RM2,185 sebulan,” katanya menjawab soalan Dayang Noorazah Awang Sohor (GPS-Lingga) pada sesi soal-jawab di sidang DUN hari ini.
Semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu, Perdana Menteri berkata pelaksanaan kadar gaji minimum di sektor swasta di seluruh negara dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan mulai 1 Februari 2025.
Bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima orang pekerja, diberi enam bulan tempoh penangguhan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 iaitu bermula 1 Ogos 2025.
Pelaksanaan gaji minimum RM1,700 sebulan melibatkan majikan yang mengambil lima pekerja atau lebih dan majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional tanpa mengira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan tersebut.
Bagaimanapun, pada 1 Ogos 2025, pelaksanaan gaji minimum sebulan kepada semua majikan yang menggajikan pekerja (tempoh penangguhan majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja telah tamat).
Oleh itu, pelaksanaan gaji minimum akan terpakai kepada semua pekerja swasta yang terlibat di seluruh negara. Malaysia telah melaksanakan Dasar Gaji Minimum bermula 2011 apabila Akta Majlis Perundingan Gaji Negara [Akta 732] digubal.
Perintah Gaji Minimum (PGM) pertama telah diwartakan pada 2012. Sehingga kini terdapat enam PGM dan yang terkini adalah PGM 2024.
Sharifah Hasidah berkata, bagi para pekerja sektor swasta di Sarawak, pemakaian gaji minimum RM1,700.00 adalah terpakai dan berkuatkuasa bermula pada tarikh-tarikh seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri.
Pelaksanaan Gaji Minimum (PGM) terpakai kepada semua pekerja termasuk pekerja bukan warganegara di sektor swasta kecuali pekhidmat domestik dan kontrak perantisan.
Penetapan GPT baharu ini hanya terpakai kepada pegawai yang menerima opsyen SSPA.
Bagi pegawai Gred 11 (SSM) yang menerima opsyen SSPA tetapi belum memenuhi syarat untuk ditukar lantik kepada skim perkhidmatan berkuat kuasa di bawah SSPA, sekiranya gaji pegawai setelah diberi pelarasan gaji adalah di bawah daripada GPT, gaji pegawai tersebut akan dipindahkan ke amaun GPT dalam JGMM yang sama (JGMM SSM).
Oleh Nur Ain Otsman