PEMAIN muda Portugal, Joao Felix menjaringkan dua gol untuk membantu Atetico Madrid berada dalam kelompok melayakkan diri ke Liga Juara-Juara selepas membelasah Osasuna 5-0 dalam saingan La Liga awal pagi tadi.
Felix, 20, melakukan penampilan pertama sejak liga utama Sepanyol bersambung akibat penularan Covid-19 selepas dia terlepas pertemuan dengan Athletic Bilbao sebab penggantungan dan cedera bahagian buku lali.
“Saya berasa sangat bertenaga, kembali beraksi selepas kecederaan selepas tiga bulan tidak beraksi dan menjaringkan dua gol ia adalah petanda sangat baik buat saya,” kata Felix kepada Movistar.
Osasuna kekal di tangga ke-11 selepas kekalahan yang menyaksikan mereka terlepas peluang untuk layak ke Liga Europa dan sekarang ini 10 mata dari zon penyingkiran.
Felix membuka jaringan pada minit ke-27 apabila melakukan rembatan ke bucu gawang selepas Renan Lodi membuka ruang di sebelah kiri.
Selepas 10 minit perlawanan separuh masa kedua bersambung Felix menggandakan jaringan buat Atletico.
Sebaik Felix dikeluarkan pada minit ke-69, Atletico mengesahkan tiga mata dengan tiga lagi gol disumbangkan Marcos Llorente, Alvaro Morata dan Yannick Carrasco.
Sementara itu, penjaring terbanyak sepanjang zaman Napoli, Dries Mertens menandatangani kontrak baharu sehingga 2022 bersama kelab Serie A itu beberapa jam sebelum menentang Juventus dalam aksi final Piala Itali di Rome.
“Mereka yang menyayangi Naples tahu cinta ini adalah selamanya. Saya akan memberikan yang terbaik sehingga ke hari terakhir untuk mencipta sejarah kelab dan bandar ini,” kata pemain antarabangsa Jerman itu dalam akaun Twitternya, hari ini.
Kontrak baharu pemain berusia 33 tahun itu tamat 2022 tetapi turut mempunyai pilihan lanjutan ke musim ketiga.
“Sangat gembira dapat bersama untuk tempoh lama. Hidup Dries!” kata presiden, Aurelio De Laurentiis dalam Twitternya.
Mertens tiba di Naples dari PSV Eindhoven pada 2013, menjuarai Piala Itali dan Piala Super Itali pada musim berikutnya.
Dia menjaringkan 122 gol daripada 310 perlawanan dan menyumbang 73 bantuan jaringan dalam semua kejohanan untuk Napoli.
Bintang Belgium itu muncul penjaring terbanyak Napoli pada separuh akhir Piala Itali selepas menewaskan Inter Milan, Sabtu lalu.-AFP