BAKU: Sesi ke-29 Persidangan Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP29) akan bermula Isnin di Baku, dengan sekitar 80 ketua negara dan kerajaan dijangka mengambil bahagian, lapor Sputnik.
Acara itu juga akan dihadiri Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Presiden Majlis Eropah Charles Michel dan Setiausaha Negara Holy See, Kardinal Pietro Parolin.
Rusia akan diwakili Perdana Menteri Mikhail Mishustin.
COP29 merupakan platform penting untuk membincangkan dasar iklim global.
Negara-negara peserta akan mengadakan rundingan bagi mengurangkan kesan perubahan iklim dan mempercepatkan peralihan tenaga.
Sidang ini dilabel sebagai “COP kewangan” kerana negara-negara akan menetapkan sasaran global baharu untuk pembiayaan iklim.
Dengan krisis yang semakin meruncing, jumlah pembiayaan iklim yang diperlukan oleh negara-negara membangun dianggarkan antara AS$500 bilion hingga AS$1 trilion setiap tahun.
Menurut jawatankuasa penganjur, antara inisiatif utama dalam agenda COP29 ialah penubuhan Dana Tindakan Kewangan Iklim.
“Dana ini dijangka memainkan peranan penting dalam menutup jurang pembiayaan iklim sedia ada,” kata jawatankuasa penganjur COP29 dalam maklum balas kepada RIA Novosti.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Tenaga Azerbaijan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif COP29, Elnur Soltanov berkata bahawa Baku menghantar jemputan kepada semua negara termasuk Armenia.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Luar Armenia Vahan Kostanyan memaklumkan dalam satu taklimat bahawa Yerevan masih belum membuat keputusan untuk menyertai persidangan itu di Baku.
Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev, pada musim panas lalu berkata bahawa penganjuran persidangan ini akan menjadi “satu lagi kejayaan besar untuk negara dan rakyat.”
Berikutan sidang kemuncak iklim ini, pilihan raya parlimen Azerbaijan yang dijadualkan pada November 2024 telah diadakan sebulan lebih awal pada September.
Sebelum ini, COP diadakan di Emiriah Arab Bersatu (2023), Mesir (2022) dan Scotland (2021).– BERNAMA-SPUTNIK