MARUDI: Jambatan Marudi bernilai RM116.5 juta sepanjang 650 meter merentasi Batang Baram sudah siap sepenuhnya dan dibuka kepada orang ramai mulai hari ini.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata ia juga sekali gus mengakhiri perkhidmatan feri di kawasan Marudi.
“Jambatan Marudi amat penting sekali dan menjadi penggerak kepada agenda pembangunan jalan-jalan di kawasan lain.
“Kita mengucapkan terima kasih kepada pemaju projek, kontraktor, konsultan dan juga semua agensi-agensi yang terlibat dalam menjayakan projek ini yang mendahului jadual daripada sasaran yang sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis prapelancaran dan pembukaan jambatan itu di sini hari ini.
Aidel berkata jambatan Marudi adalah permulaan kepada jaringan perhubungan yang lain di kawasan Marudi.
Katanya, jalan baharu dari Eastwooh Valley Miri hingga ke jambatan Marudi sepanjang 42 kilomter (km) juga akan dibina dan dalam proses ditender.
“Dari jambatan Marudi juga akan dibina jalan ke Kuala Melinau Mulu sepanjang 76km dan di tengah-tengahnya juga akan dibangunkan jalan dari Long Panai ke Long Lama dalam kawasan DUN Telang Usan sepanjang 26km.
“Semua projek ini akan dimulakan pada tahun depan iaitu jalan dari Marudi-Mulu dan seterusnya Long Lama.
“Kemudian pembinaan jalan dari Mulu akan disambungkan lagi sehingga ke Nanga Medamit sepanjang 150km,” katanya.
Beliau berkata pembinaan jalan dari Mulu ke Lio Mato juga akan dibangunkan iaitu sepanjang 140km.
Katanya, semua pembinaan jalan ini iaitu dari Miri ke Marudi dan terus ke Limbang dan Lawas akan dimulakan dalam masa lima tahun akan datang dalam Rancangan Malaysia Ke-13.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Mulu, Datuk Gerawat Gala; Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau dan Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan Dato Dennis Ngau.
Oleh JIKU JUGUONG