KUCHING: Kerajaan Sarawak diharap meneruskan atau memperluas Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS) dalam Belanjawan Sarawak akan datang, kata Dato Sim Kiang Chiok.
Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) itu berkata, inisiatif ini akan membantu lebih ramai rakyat Sarawak mendapat kediaman sendiri.
“Belanjawan Sarawak yang akan datang diharap dapat melengkapkan dan menangani sebarang baki jurang yang tidak diliputi dalam Belanjawan Persekutuan.
“Memandangkan pendapatan negeri dijangka meningkat, rakyat Sarawak boleh mengharapkan bajet yang mantap sekali gus memacu Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, beliau berharap perbelanjaan infrastruktur juga akan meningkat berbanding tahun lepas supaya lebih banyak pembangunan infrastruktur dapat dilaksanakan sekali gus menyokong komuniti dengan lebih baik.
Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan Sarawak akan meningkatkan pelaburan dalam pertanian bagi meningkatkan tanaman hasil yang lebih tinggi, keselamatan makanan serta mewujudkan lebih banyak peluang pertanian.
Menyentuh mengenai pendidikan dan kesihatan, Sim menjangkakan kerajaan Sarawak akan terus menangani keperluan segera pembaikan sekolah dan klinik usang di negeri ini bagi pihak Kerajaan Persekutuan.
“Kami juga menanti pembinaan hospital kanser yang baharu untuk meningkatkan akses penjagaan kesihatan di Sarawak,” tambahnya.
Beliau juga berharap agar pelajar yang melanjutkan pelajaran peringkat pengajian tinggi di Semenanjung Malaysia dan luar negara diberikan sokongan tambahan seperti wang saku bagi meringankan beban kewangan mereka.
“Sementara itu, berhubung kos sara hidup, saya menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan langkah-langkah untuk memastikan harga petrol stabil di Sarawak, seperti yang telah kita lakukan dengan pengecualian kenaikan harga diesel.
“Lagipun, dengan kenaikan gaji minimum negara kepada RM1,700 nanti, saya mencadangkan kerajaan negeri kita menyokong perniagaan kecil di bandar kecil dengan mengekalkan gaji minimum RM1,500 sekarang.
“Geran gaji negeri kepada majikan boleh membantu mengurangkan kos perniagaan dan mengekalkan ekonomi tempatan,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA