LUNDU: Sebuah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Serayan, di sini, hari ini.
Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden pada 10.56 pagi.
Bertindak atas laporan, sepasukan anggota dengan kekuatan sembilan orang dikejarkan ke lokasi yang terletak 18 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu.
“Setibanya di lokasi, Komander Operasi (KO) memaklumkan kebakaran melibatkan sebuah rumah satu tingkat struktur kekal berkeluasan 30 x 25 kaki persegi telah terbakar 70 peratus.
“Pasukan keluaran operasi (PKO) kemudian melakukan operasi pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki, dua pancutan sumber air dari tangki jentera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Insiden itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.
Setelah memastikan keadaan kembali selamat sepenuhnya, operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada 12.04 tengah hari.