LIMBANG: Majlis Daerah Limbang (MDL) tidak akan berkompromi dengan pengusaha premis makanan berstatus Gred C yang tidak meningkatkan aspek kebersihan.
Malah pihak MDL tidak teragak-agak untuk menarik lesen pengusaha premis makanan Gred C jika masih tidak meningkatkan aspek kebersihan sehingga mendapatkan Gred A.
Wali Kotanya, Kaunselor Sufian Mohat berkata amaran dan teguran diberikan kepada mereka agar berusaha untuk mendapatkan Gred A terhadap premis makanan mereka.
“Kita amat mengalak premis makanan Gred C untuk meningkatkan tahap kebersihan premis dari aspek penyediaan makanan dan minuman kepada orang ramai.
“Ini kerana aspek kebersihan amat penting dan perlu dititikberatkan sekali gus meningkatkan kesedaran pengusaha restoran untuk mendapatkan pengiktirafan kepada Gred B dan A,”katanya kepada media hari ini.
Sufian menjelaskan sebanyak 12 daripada 60 buah premis makanan di Limbang menerima penilaian Gred A oleh MDL sekali gus menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas.
“Penilaian Gred A itu adalah hasil dari penilaian dan pematuhan garis panduan yang ditetapkan melalui pemeriksaan yang dilakukan terhadap premis makanan yang ada di daerah ini,” katanya.
Beliau berkata pada penilaian sama sebanyak 17 premis makanan menerima Gred B manakala 11 premis makanan menerima Gred C.
“Kita berbangga kerana berdasarkan laporan dan juga maklum balas daripada pelancong luar, Limbang ini mempunyai restoran yang agak bersih berbanding di tempat lain.
“Kita rasa ini adalah satu produk yang kita ketengahkan kepada pelancong luar yang berkunjung ke Limbang, kerana kita tahu makanan di Limbang sedap dan antara salah satu pilihan utama kepada mereka,” katanya.
Sufian berkata pihaknya akan mempromosikan ke semua 12 premis makanan Gred A di Limbang kepada pelancong dan pengunjung luar selain dipromosikan melalui media sosial dan platform MDL.
Terdahulu beliau turut menyerahkan sijil penyertaan kepada lebih 60 pengusaha premis makanan pada Program Premis Bersih 2024 di Perpustakaan Awam Limbang.
Oleh ADENG EDRUS