PETRA JAYA: Kejayaan penganjuran SUKMA XXI Sarawak 2024 adalah hasil kerjasama semua pihak berganding bahu.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kelancaran penganjurannya adalah kerana sokongan dan bantuan penuh petugas jawatankuasa serta sukarelawan sepanjang temasya itu baru-baru ini.
“Seramai 17,864 petugas jawatankuasa dan 3,000 sukarelawan telah bekerja keras untuk setiap venue sukan bagi memastikan semuanya berjalan lancar.
“Semua petugas menunjukkan komitmen. Bagi saya anda semua adalah ‘unsung heroes’, hero yang tidak didendang”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Apresiasi SUKMA XXI Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam ini.
Hadir sama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Abdul Karim berkata, tanggungjawab mereka dalam menguruskan 37 Sukan yang melibatkan 488 pingat emas yang diraih bukanlah suatu tugas yang ringan.
“Cabaran kita dalam penganjuran kali ini adalah aspek persiapan yang singkat dan juga persiapan logistik yang hanya mengambil masa selama satu setengah tahun sahaja,” katanya.
Beliau juga percaya bahawa pengalaman yang diperoleh sepanjang penganjuran SUKMA edisi ke-21 ini akan menjadi bekalan
berharga untuk semua.
“Semoga kita dapat meneruskan
legasi ini dan berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih besar terutamanya pasa Sukan SEA 2027,” katanya.
Oleh Noor Ikmal