SIBU: Buat julung kalinya, Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menganjurkan sesi uji bakat The Audition Arena Of Dreams 2024, hari ini.
Sesi uji bakat tersebut yang diadakan di Perpustakaan Awam, Jalan Keranji, disertai 33 peserta.
Pengerusi penganjur, Kaunselor Michelle Law berkata, seramai 12 peserta akan dipilih untuk mara ke peringkat akhir yang akan berlangsung di Pentas Utama Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa I pada malam 17 Disember depan.
“Pemenang tempat pertama akan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 bersama trofi dan sijil, diikuti tempat kedua RM2,000 bersama trofi serta sijil dan tempat ketiga RM1,000 bersama trofi dan sijil,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Katanya, persembahan bakat adalah nyanyian, tarian, alat muzik, pertunjukan silap mata, pertunjukan mimik, pantomime dan akrobatik.
“Acara ini adalah terbuka kepada semua peringkat umur termasuk kanak-kanak dan orang dewasa. Peserta paling veteran berumur lebih 50 tahun,” katanya.
Dalam pada itu, seramai lima peserta terbaik akan dipilih untuk membuat persembahan pada pentas ambang tahun baharu pada 31 Disember depan.
Oleh AKUN GIMAN