KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak telah mengeluarkan sebanyak 171 notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi tempoh 1 Januari hingga 14 Jun 2020.
Pengarah KPDNHEP Sarawak, Dato Stanley Tan berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 151 Notis dikeluarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berlangsung.
“82 daripada notis tersebut merupakan serahan kepada pengusaha dandanan dan gunting rambut,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Terdahulu, beliau memberitahu KPDNHEP telah melaksanakan satu tindakan pemeriksaan di bawah OPS CATUT 7.0 (DANDANAN DAN GUNTING RAMBUT) yang telah digerakkan pada 10 Jun 2020 yang melibatkan premis penyediaan/pengusaha dandanan dan gunting rambut.
“Pemeriksaan secara harian yang dilaksanakan ini bagi memastikan para peniaga mematuhi garis panduan (SOP) yang telah ditetapkan.
“Dan dalam masa yang sama KPDNHEP menyerahkan Notis di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 kepada pengusaha dandanan dan gunting rambut bagi peniaga memberi maklumbalas berkenaan caj perkhidmatan pemotongan rambut dan dandanan yang dikenakan kepada pelanggan.
“Disamping itu juga, pemeriksaan dijalankan bagi memastikan mana-mana pihak (peniaga) tidak mengambil kesempatan dengan menaikan harga secara tidak munasabah terutama dalam situasi di mana orang ramai memerlukan keperluan tersebut,” kata beliau.
Walau bagaimanapun, sekiranya ada peniaga yang didapati mengambil kesempatan dengan menawarkan pada harga yang tidak munasabah atau lebih tinggi daripada harga asal, maka siasatan akan dijalankan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) kerana disyaki mencatut, iaitu disyaki mengambil keuntungan yang tidak munasabah.
“Sekiranya didapati peniaga menaikkan harga yang tidak munasabah dan melebihi paras margin keuntungan, tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 14, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 iaitu mana-mana orang dalam perjalanan perdagangan atau perniagaan, mencatut dalam menjual atau menawarkan untuk menjual dan membekal apa-apa barang atau perkhidmatan.
“Jka disabitkan kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM100,000.00 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat atau Pertubuhan Perbadanan boleh didenda sehingga RM500,000.00,” jelasnya.
Sehubungan dengan itu, pihak kementerian menyeru dan menasihatkan semua peniaga tidak mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan yang tidak munasabah atau terlalu tinggi dalam tempoh pelaksanaan PKPP ini.
“Para peniaga juga dinasihatkan untuk mengamalkan perniagaan yang beretika dan tidak menaikkan harga sesuka hati.
“Jika didapati ada peniaga yang ingkar, tindakan tegas akan diambil,” ujarnya.
KPDNHEP Sarawak menambah bahawa pihaknya akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dari masa ke semasa bagi memastikan masyarakat pengguna di luar sana dapat menikmati harga yang berpatutan.
Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline kementerian di 1-800-886-800 atau Portal e-aduan kpdnhep di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau di talian Whatsapp 019-2794317 atau hadir sendiri di mana-mana pejabat Kementerian yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.
Sepanjang tempoh PKP ini, bilik gerakan KPDNHEP Sarawak di buka dari 8.00 pagi hingga 5.30 petang setiap hari dan boleh dihubungi untuk menyalurkan apa-apa aduan di talian PPDNHEP KUCHING(082-466052), PPDNHEP SRI AMAN (083-323836), PPDNHEP SARIKEI (084-657751), PPDNHEP SIBU(084-329202), PPDNHEP KAPIT (084-799678), PPDNHEP BINTULU(086-332176), PPDNHEP MIRI (085-412862), PPDNHEP LIMBANG (085-217414), PPDNHEP MUKAH (084-872726) dan PPDNHEP LAWAS (085-283650).
Oleh Alexandra Lorna