TAMPIN: Perkembangan semasa kes Covid-19 tidak menjejaskan proses pemulihan ekonomi negara yang dilaksanakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata tidak dinafikan penularan Covid-19 memberi kesan terhadap psikologi rakyat yang boleh menjadi halangan utama kepada langkah pemulihan ekonomi.
“Kesan terhadap psikologi rakyat, antaranya perasaan takut untuk menjalankan aktiviti harian seperti biasa termasuk bercuti, keluar dan membeli-belah, ini menjadi halangan utama bagi proses pemulihan ekonomi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke Rancangan Felda Bukit Rokan, dekat sini.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata bagaimanapun selepas 10 Jun, berdasarkan kelonggaran yang diberikan, ekonomi dapat menyaksikan hotel kecil mula menerima tempahan, hotel yang lebih besar juga dibuka beransur-ansur, syarikat penerbangan telah menawarkan penerbangan domestik, perusahaan kecil dan sederhana kembali beroperasi.
“Kita lihat hasrat kerajaan untuk memulihkan ekonomi sebahagiannya sudah berjaya, walaupun bukan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata keutamaan kerajaan adalah menangani isu kesihatan.
“Boleh dikatakan usaha kerajaan itu berjaya, sebahagiannya menjadi contoh kepada dunia iaitu mengenai cara kita tangani krisis ini, jadi ikutan negara lain bukan sahaja negara membangun malah negara maju pun banyak merujuk kepada kita,” katanya.
Mustapa berkata negara kini memasuki fasa pemulihan daripada krisis pandemik ini, yang termasuk langkah memulihkan ekonomi, justeru, pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan 5 Jun lepas dipantau dengan rapi.
Beliau berkata buat masa sekarang, dianggarkan 90 peratus pekerja sudah kembali bekerja dan ini menampakkan tanda-tanda pemulihan.
“Sekarang tumpuan kerajaan antaranya, menjelaskan mengenai prosedur operasi standard (SOP) dan mengadakan lebih banyak pertemuan dengan pihak berkaitan, ini sedang dijalankan, saya berpandangan kalau aspek SOP ini dapat dijelaskan lagi, kita akan dapat lihat pembukaan beberapa lagi sektor dan ekonomi akan berjalan lancar,” katanya. – Bernama