MIRI: Seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun cedera selepas kereta yang dipandunya terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Jalan Miri-Bintulu di sini, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 2.12 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri Sentral digerakkan ke lokasi yang terletak pada jarak dua kilometer dari balai.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta perodua Myvi melanggar pokok dan seorang mangsa masih tersepit dalam kereta.
“Pihak bomba terus menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas,”katanya.
Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan sebelum diberi rawatan lanjut oleh pasukan perubatan.
Operasi itu tamat pada 2.48 petang.