LONDON: Manchester United meredakan tekanan ke atas pengurus mereka, Erik ten Hag, apabila bangkit menewaskan Brentford 2-1, tengah malam tadi.
Ten Hag dengan tegas menepis ‘cerita dongeng dan pembohongan’ mengenai masa depannya di United sambil menegaskan bahawa beliau tidak berada dalam situasi bahaya untuk dipecat.
Namun, ramai yang percaya bahawa pengendali dari Belanda berusia 54 tahun itu sedang berjuang untuk menyelamatkan tugasnya selepas permulaan terburuk United dalam liga utama sejak musim 1989-90.
Ten Hag hampir pasti berada di ambang pemecatan selepas Brentford mendahului pada masa kecederaan babak pertama apabila Ethan Pinnock menyempurnakan sepakan sudut dengan tandukan kencang.
Namun, Alejandro Garnacho memulakan kebangkitan United pada minit ke-47 apabila pemain Argentina itu menerima hantaran sudut Marcus Rashford dengan voli yang cantik ke sudut atas gol.
Rasmus Hojlund menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-62, memanfaatkan tolakan bijak Bruno Fernandes dan menewaskan penjaga gol Brentford, Mark Flekken dengan tenang.
“Kami tidak menjaringkan gol yang cukup, kami tidak cukup klinikal, tetapi hari ini kami menjaringkan dua gol hebat.
“Apabila anda menjaringkan gol, anda menambah sedikit keyakinan. Ini hanya satu kemenangan, kami perlu bangkit daripada sini,” kata Ten Hag.
Kemenangan pertama United dalam enam perlawanan di semua pertandingan itu adalah kemenangan ketiga mereka dalam lapan perlawanan Liga Perdana musim ini.
Mereka kini berada di tempat ke-10 dalam carta liga menjelang minggu yang menarik apabila bakal beraksi di Liga Europa menentang pasukan bimbingan Jose Mourinho, Fenerbahce, dan kunjungan ke West Ham. – AFP