KUCHING: Belanjawan 2025 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan rakyat semalam disifatkan sebagai bajet komprehensif dan terbesar bertujuan menyokong pertumbuhan negara.
Bagaimanapun, menurut Pengerusi Parti Rakyat Bersatu (SUPP) Cawangan Stakan, Dato Sim Kiang Chiok peruntukan sebanyak RM5.9 bilion daripada RM86 bilion bajet pembangunan masih boleh ditingkatkan.
”Peruntukan untuk Sarawak hanya RM5.9 bilion daripada RM86 bilion bajet pembangunan, iaitu hanya 6.8 peratus daripada jumlah keseluruhan.
”Ini adalah bahagian yang agak kecil,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, mengulas berkenaan kenaikan kadar gaji minimum dari RM1,500 kepada RM1,700 yang akan dikuatkuasakan pada 1 Februari tahun hadapan, beliau berkata ia dikhuatiri akan memberikan implikasi kepada pelbagai sektor perniagaan.
”Gaji minimum yang akan dinaikkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 mulai 1 Februari 2025, dengan penangguhan enam bulan diberikan kepada majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja sememangnya akan memberi kesan ketara kepada kos menjalankan perniagaan.
”Selain itu, ia dikhuatiri menyebabkan harga barangan semakin meningkat dan menimbulkan kesan jangka panjang, yang memerlukan gaji lain juga perlu diselaraskan,” jelasnya.
Dalam perkembangan yang sama, Sim berkata penyasaran subsidi petrol RON95 yang dijangka dilaksanakan pertengahan tahun depan perlu dipertimbangkan dengan lebih teliti dan menyeluruh.
Katanya, ia penting untuk mengelakkan inflasi yang lebih teruk, terutamanya apabila ia dilaksanakan hanya dalam tempoh empat bulan selepas kenaikan kadar gaji minimum.
Tambah beliau lagi, perluasan cukai perkhidmatan (SST) secara progresif yang akan dilaksanakan berkuatkuasa 1 Mei 2025 juga dikhuatiri menyumbang kepada kenaikan harga dan peningkatan kos sara hidup.
”Ia juga akan menjadikan perniagaan di Malaysia lebih mencabar,” katanya lagi.