KUALA LUMPUR: Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai pendapatan individu diberi ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan kediaman pertama yang dimiliki sendiri atau bersama.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam lampiran yang dikeluarkan seiring dengan pembentangan Belanjawan 2025 hari ini berkata bagi harga rumah sehingga RM500,000, jumlah pelepasan cukai setahun adalah RM7,000 manakala bagi harga rumah melebihi RM500,000 hingga RM750,000 adalah berjumlah RM5,000.
“Pelepasan cukai pendapatan individu ke atas bayaran faedah ini tertakluk kepada syarat iaitu rumah kediaman tersebut tidak digunakan untuk menghasilkan sebarang pendapatan dan perjanjian jual beli hendaklah disempurnakan mulai 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.
“Amaun pelepasan cukai pendapatan individu ke atas bayaran faedah yang dibenarkan adalah bagi tiga tahun taksiran berturut-turut, mulai tahun pertama faedah pinjaman perumahan dibayar,” katanya.
MoF juga mengatakan dua atau lebih individu layak menuntut pelepasan cukai ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan bagi sebuah rumah kediaman yang sama mengikut asas pembahagian bayaran faedah.
“Tarikh kuat kuasa bagi perjanjian jual beli rumah kediaman pertama yang disempurnakan adalah mulai 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027,” katanya.– BERNAMA